SWCorp sasar kurangkan kebergantungan pekerja asing
SHAH ALAM - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing dalam sektor pembersihan melalui beberapa jalinan kerjasama dengan pihak konsesi dan agensi kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, antara kerjasama akan dilaksanakan antaranya Program di Sebalik Tirai Besi melibatkan warga penjara terpilih.
“Mereka akan diberi latihan untuk diserapkan dalam tenaga kerja sektor pembersihan, sekali gus meningkatkan bilangan tenaga pekerja tempatan.
“Kerjasama ini diusahakan SWCorp bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Jabatan Penjara Malaysia dan syarikat konsesi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahmad Husaini berkata, seramai 27,345 pekerja pembersihan menerima pakai Akta 672 dan daripada jumlah itu, 32.5 peratus adalah pekerja asing.
Sementara itu, Ahmad Husaini berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan bukan sahaja terletak pada syarikat konsensi mahupun badan kerajaan tetapi komuniti juga memainkan peranan penting memastikan kebersihan setempat dipelihara untuk kesejahteraan bersama.
“Masyarakat perlu bijak menguruskan sisa dan amalan ini perlu bermula dari rumah membabitkan pengasingan sisa pepejal dan mengamalkan perkara paling asas iaitu buang sampah ke tong sampah,” katanya.
Terdahulu pada Rabu, SWCorp dengan kerjasama Syarikat Konsesi SWM Environment Sdn Bhd (SWM) meraikan Hari Pekerja Pembersihan 2024 di Negeri Sembilan untuk menghargai khidmat bakti pekerja dalam sektor pembersihan negara.
Pada majlis sama, turut diadakan Anugerah Pekerja Cemerlang kepada 30 pekerja pembersihan dan menerima sijil penghargaan.
Hari Pekerja Pembersihan atau Garbage Man Day (GMD) disambut secara global pada 17 Jun setiap tahun sejak 2011 di peringkat antarabangsa bertujuan memberi motivasi, menghargai dan mengiktiraf pekerja pembersihan dikategorikan sebagai pekerja 3D (Difficult, Dangerous & Dirty).
Pada tahun kelima penganjuran GMD, Ahmad Husaini turun padang menyantuni pekerja pembersihan di lapangan.
“Kita mahu masyarakat menzahirkan ucapan terima kasih dengan pelbagai cara antaranya melalui senyuman dan penghargaan kepada pekerja pembersihan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!