JKNS siasat bayi meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang
SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang bayi di Hospital Tanjong Karang selepas videonya tular pada 12 Jun lalu.
Pengarahnya, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, siasatan itu berdasarkan kepada garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia ada.
"Pihak Hospital Tanjong Karang akan mengatur pertemuan bersama pihak keluarga untuk perbincangan lebih lanjut mengenai kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Ummi Kalthom memberitahu, siasatan sebelum ini mendapati pesakit berusia 11 bulan itu mengalami gejala demam panas dan muntah serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang pada 7 dan 9 Jun lalu.
Jelas beliau, pemeriksaan dan rawatan telah diberikan oleh pegawai perubatan bertugas dan pesakit dibenarkan pulang pada hari sama.
Bagaimanapun, katanya, pesakit didapati tidak sedarkan diri di rumah pada 11 Jun lalu dan telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang.
"Resusitasi telah diberikan, namun pesakit tidak mampu diselamatkan.
"Proses bedah siasat telah dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!