[VIDEO] Subsidi diesel: Anwar beri amaran batal lesen jika sengaja naikkan harga
PUTRAJAYA - Kerajaan akan menarik balik dan membatalkan lesen sekiranya terdapat pihak yang sengaja menaikkan harga barangan atau perkhidmatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas itu harus diambil berikutan penyasaran subsidi bahan bakar tersebut dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Bas sekolah naik (harga), tapi kita bagi amaran, kamu diberi subsidi dan kamu naik, kamu jaga.
"Saya tidak tahu orang lain, kalau saya, jika kamu naik juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat (kamu)," katanya menerusi ucaptama di Perhimpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika belum menerima 'fleet card' diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menerusi SKDS, 'fleet card' itu membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter.
Dalam perkembangan sama, Anwar menjelaskan, langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel bukan satu tindakan yang mudah kerana tidak mahu membebankan rakyat.
“Saudara ingat kita dalam Jemaah Menteri senang-senang hendak lakukan, tidak berhati perut, tidak peduli orang susah, naikkan harga barang, tidak.
“Kalau saya sendiri, puluh kali mesyuarat teliti supaya tidak membebankan.
"Maka nelayan dikecualikan, subsidi diteruskan, tidak ditarik untuk nelayan, pekebun kecil dan bas sekolah,” katanya.
Bermula Isnin, harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter.
Selaras dengan langkah itu, pengguna yang layak akan menerima bantuan bantuan tunai Budi Madani RM200 sebulan manakala 'fleet card' itu membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!