MBSA pertimbang sedia bantuan PIBG
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam akan pertimbangkan cadangan menyediakan amaun bersesuaian kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi setiap sekolah di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, inisiatif tersebut sebagai sokongan PBT terhadap sektor pendidikan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, MBSA juga sentiasa memberikan kerjasama terhadap sebarang usaha atau inisiatif dilaksana menerusi program pembangunan pelajar.
"Sebelum ini, MBSA ada menyediakan bantuan logistik dan juga kewangan bergantung keperluan dan permohonan.
"Mungkin selepas ini MBSA boleh buat ketetapan dana kepada setiap sekolah contohnya RM3,000 setahun kerana ketika ini tiada peruntukan khas seperti itu," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui pada Hari Anugerah kecemerlangan Akademik 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 di sini pada Jumaat.
Mohd Fauzi berkata, pihak sekolah juga boleh membuat permohonan menerusi MBSA atau secara terus kepadanya untuk bantuan dana.
"Boleh terus kemuka surat terus kepada saya dan saya akan gunakan peruntukan sebagai Datuk Bandar untuk memberikan sumbangan.
"Terdapat peruntukan di bawah Datuk Bandar untuk program CSR bersama komuniti termasuk dalam bidang pendidikan," katanya.
Pada majlis itu, Pengetua, Rohana Jaafar mengumumkan, SMK Seksyen 19 mencapai 4.79 berbanding 5.14 gred purata sekolah pada tahun sebelumnya.
Peratus lulus meningkat iaitu 94.27 peratus berbanding 93.07 peratus pada 2022 dan tiga mata pelajaran kekal 100 peratus lulus iaitu Fizik, Sains Komputer dan Biologi.
Seramai lapan pelajar mendapat semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Pada majlis sama, Kamarul Haziq Kamal dan Nur Aisyah Syafiqah Nor Azhar dipilih sebagai pelajar cemerlang SPM 2023.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!