Kes pertama virus korona dikesan di Washington

Gambar hiasan - Foto Agensi
Gambar hiasan - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Kes pertama virus korona dikesan di Washington, Amerika Syarikat (AS), menurut agensi kesihatan negara itu pada Selasa lapor agensi berita Anadolu.

Pesakit lelaki yang dijangkiti itu dari daerah Snohomish kini dirawat di Pusat Perubatan Wilayah Providence di Everett. Dia dipercayai berkunjung ke Wuhan, China iaitu tempat wabak itu mula menular.

Pesakit dalam usia lingkungan 30-an mengalami beberapa gejala dan diagnosis dengan penyakit radang paru-paru minggu lalu. Pada Isnin lalu, dia disahkan dijangkiti virus baharu.

CNN dan New York Times pertama kali melaporkan kes itu.

"Walaupun awalnya anggapan bahawa wabak menular daripada haiwan kepada manusia, terdapat tanda-tanda jelas ia boleh merebak antara manusia kepada manusia, namun masih tidak jelas berapa cepat virus itu boleh merebak," kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam satu kenyataan.

Juga dikenali sebagai 2019-nCoV, virus korona itu menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit radang paru-paru mula dikesan pada Disember di Wuhan, China.

Gejala itu termasuk demam, batuk dan sukar bernafas.

CDC berkata, ia bekerjasama rapat dengan Washington dan rakan kongsi tempatan serta menghantar satu pasukan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat lalu, agensi itu mula menjalankan saringan kesihatan terhadap pelancong dari Wuhan di lapangan terbang San Francisco, New York dan Los Angeles.

Minggu ini, saringan kesihatan turut dijalankan di lapangan terbang Atlanta dan Chicago.

Sekurang-kurangnya enam orang maut dan hampir 300 kes dilaporkan di China bulan ini. Di luar China, virus itu turut menjejaskan penduduk di Taiwan, Jepun dan Korea Selatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!