[VIDEO] Lelaki larikan Honda City dijel lapan bulan

A
A
A

RAUB - Seorang kontraktor dikenakan hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah Kampung Chinta Manis, dekat Karak, Bentong pada 4 Jun lalu.

Tertuduh Mohammad Shahrul Ezwan Nordin, 40, sebelum ini ditahan selepas melarikan sebuah kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu, 3 Jun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh dibawa keluar selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Jumaat.
Tertuduh dibawa keluar selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Jumaat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 4 Jun lalu kira-kira jam 10 malam bertempat di plot 4078 Kampung Chinta Manis dekat Karak, Bentong telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki ke dalam sebuah rumah milik wanita berusia 34 tahun.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 448 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zamharir Muhammad Zuhid memohon hukuman setimpal dikenakan susulan kesalahan dilakukan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Mohammad Shahrul menanggung seorang isteri dan empat anak dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Siti Aisyah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh ditangkap.

Tertuduh sebelum ini ditahan pada 5 Jun selepas melarikan sebuah kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu, 3 Jun lalu.
Tertuduh sebelum ini ditahan pada 5 Jun selepas melarikan sebuah kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu, 3 Jun lalu.

Dalam mahkamah sama, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah pada 5 Jun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, kira-kira jam 12 tengah hari, tertuduh bertempat di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah didapati menggunakan dadah jenis Amphetamine dengan cara salah.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 38B ADB yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Siti Aisyah mengenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 11 September depan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berjadual tanpa kebenaran sah di hadapan Hakim Noor Aisah Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 4 Jun lalu kira-kira jam 10 malam bertempat di plot 4078 Kampung Chinta Manis dekat Karak, Bentong telah didapati memiliki senjata berjadual iaitu dua bilah gunting hitam, sebilah pisau lipat merah dan sebilah pisau kuning tanpa kebenaran sah.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Punitha dan Noor Aisah kemudiannya menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan fakta dan hukuman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!