FAMA sasar RM17 juta Jualan Khas Semarak Aidiladha

Abdul Rashid (kanan) dan Wan Faizatul Aniza (tengah) melihat sayur-sayuran yang dijual di RTC Tunjong di Kota Bharu.
Abdul Rashid (kanan) dan Wan Faizatul Aniza (tengah) melihat sayur-sayuran yang dijual di RTC Tunjong di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai Jualan Khas Semarak Aidiladha sebanyak RM17 juta dalam tempoh tiga hari jualan berlangsung di seluruh negara.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, program diadakan di 685 lokasi bermula Khamis bertujuan membantu rakyat terutama umat Islam membuat persiapan sempena Hari Raya Korban.

Menurut beliau, program Jualan Semarak Aidiladha peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong turut berlangsung serentak dengan Karnival Agro Madani yang menawarkan pelbagai barang keperluan seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Abdul Rashid (kiri) dan Wan Faizatul Aniza (dua dari kiri) menunjukkan ikan tongkol yang dijual lebih murah di Jualan Khas Semarak Aidiladha.
Abdul Rashid (kiri) dan Wan Faizatul Aniza (dua dari kiri) menunjukkan ikan tongkol yang dijual lebih murah di Jualan Khas Semarak Aidiladha.

“Jualan akan berlangsung di RTC, pasar tani, kedai-kedai atau outlet FAMA seperti agrobazar dan MyFarm Outlet.

“Kami sasar Jualan Khas Semarak Aidiladha ini keseluruhan RM17 juta. Di Kelantan dua hari pun sudah boleh capai target RM500,000 dengan pengunjung yang tidak putus-putus hadir,” katanya ketika ditemui pemberita di RTC Tunjong di sini pada Jumaat.

Abdul Rashid berkata demikian selepas merasmikan Karnival Agro Madani dan Majlis Pelancaran Program Jualan Khas Semarak Aidiladha Peringkat Kebangsaan 2024.

Turut hadir, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rashid berkata, kedua-dua program berkenaan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak usahawan dan petani.

“Melalui program ini, usahawan dapat meluaskan pasaran mereka dan menambah pendapatan manakala pengunjung pula mendapat manfaat potongan harga.

“Misalnya, seperti kombo pelbagai sayuran daripada RM55 dijual hanya RM20, ikan tongkol harga biasa RM9 seekor dijual RM10 tiga ekor tetapi ada yang terhad hanya ketika ‘happy hour’,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid memaklumkan bekalan makanan seperti ayam dan sayuran dalam negara ketika ini stabil selain mencukupi menjelang Aidiladha ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!