Langgar peruntukan peraturan, penjawat awam boleh dibuang kerja - Cuepacs

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Adnan (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Adnan (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Istilahnya tidak ‘menyimpan’ atau buang kerja boleh dilaksanakan berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, tata kelakuan dan pengurusan tatatertib penjawat awam sudah diwartakan dengan jelas dalam peraturan berkenaan sebagai panduan untuk semua ketua jabatan.

Menurutnya, seseorang penjawat awam boleh dikenakan hukuman seperti amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, pangkat atau buang kerja jika didapati bersalah melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan yang ditetapkan.

“Cuepacs mengambil maklum teguran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kecenderungan agensi penguatkuasaan tertentu yang ‘menyimpan’ pegawai bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah.

“Dalam hal ini pandangan Cuepacs senada dengan EAIC iaitu mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai tersebut boleh dianggap melakukan satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, EAIC menegur kecenderungan agensi penguatkuasaan tertentu untuk ‘menyimpan’ pegawai yang bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar memberitahu, mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai tersebut boleh dianggap melakukan satu kesalahan.

Mengulas lanjut, Adnan memaklumkan, Cuepacs mengambil perhatian serius mengenai perkara itu, namun tetap yakin ia hanya melibatkan segelintir kumpulan ketua jabatan daripada agensi penguatkuasaan tertentu yang tidak ambil peduli isu salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan kakitangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sudah menjadi satu tanggungjawab besar yang perlu dimainkan di peringkat ketua jabatan untuk melakukan prosedur tertentu berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sebagai seorang pemimpin perlu ada sifat berani bertindak dan menjauhi perkara-perkara yang membawa kepada pelanggaran etika dan peraturan dalam perkhidmatan awam.

“Sekiranya ketua jabatan yang mempunyai kuasa bertindak menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, sudah tentu organisasi akan menjadi lebih kompeten dan berdaya maju,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar semua penjawat awam tidak kira pelbagai peringkat jawatan mengambil peranan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

“Salah laku dalam perkhidmatan awam adalah suatu perkara yang amat kita tegah termasuklah menyembunyikan atau membiarkan salah laku tersebut terus berlaku,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!