Kelebihan Hari Arafah
UMAT ISLAM yang mengerjakan ibadah haji akan melakukan rukun haji iaitu wuquf di Arafah yang dilakukan setiap 9 Zulhijah di padang Arafah dan hari tersebut digelar sebagai Hari Arafah.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat banyak kelebihan Hari Arafah, antaranya:
1 - Wukuf di Arafah salah satu rukun daripada ibadah haji
Abdulrahman bin Ya’mur meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Haji adalah Arafah.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
2 - Hari disempurnakan agama
Umar bin al-Khattab RA menjelaskan seorang lelaki telah bertanya kepadanya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya, jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi, maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu. Dan AKU telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu” (Surah al-Maidah: 3). Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda berdiri di Arafah pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
3 - Hari raya buat umat Islam
Uqbah bin Amir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum.” (Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasa'i)
4 - Hari Arafah adalah hari penyaksian
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta asy-Syahid adalah hari Jumaat.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
5 - Kebesaran berdoa di Hari Arafah
Abdullah bin ‘Amr meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
6 - Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas
Abi Qatadah RA meriwayatkan ketika Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada Hari Arafah, Baginda bersabda: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim)
7 - Hari keampunan dan pelepasan daripada api neraka
Aisyah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-NYA daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!