Piala FA: KDN FC elak kesilapan mudah jumpa JDT
PENGENDALI Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Park Jaehong mahu barisan pemainnya mengurangkan kesilapan mudah aksi pusingan 16 Piala FA 2024 menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Jaehong berkata, berdepan JDT bukan tugas mudah memandangkan lawan merupakan pasukan yang serba lengkap dari segenap posisi bermula dari serangan hingga penjaga gol.
"Saya mahu barisan pemainnya tidak mudah berputus asa serta sentiasa bekerja keras pada 90 minit masa perlawanan agar berjaya memberi saingan kepada juara bertahan itu," katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, KDN FC perlu memberikan tentangan sengit kepada lawan dan tidak gugup sepanjang perlawanan itu.
Ujarnya, setiap peluang terhidang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan KDN FC mampu membutirkan sesuatu pada aksi itu nanti.
"Pemain kena yakin mereka ada kualiti. Jangan takut dengan kekuatan pasukan lawan walaupun sedar pemain JDT FC berkualiti tinggi," katanya.
Jaehong berkata, beliau mahu barisan pemain tidak membenarkan lawan menjaringkan gol dengan mudah pada aksi itu nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!