[VIDEO] Mahasiswa #KamiMahuAir Sabah enggan serah memorandum
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Selepas kira-kira satu jam berhimpun di hadapan Menara Kinabalu, namun sehingga kini kumpulan Suara Mahasiswa yang menyertai perhimpunan #KamiMahuAir Sabah tidak menyerahkan memorandum yang ingin disampaikan kepada kerajaan Sabah.
Kumpulan disertai kira-kira 80 mahasiswa dan orang awam itu dilihat terus berada di hadapan menara sambil melaungkan keinginan mereka untuk menghantar memorandum kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dilihat berada di lokasi untuk menerima memorandum namun sehingga kini tidak diserahkan kepada mereka.
Kordinator Sekretariat Perhimpunan itu, Mohammad Norhamdin Nordin berkata, mereka akan terus menunggu Ketua Menteri Sabah untuk menyerahkan memorandum tersebut.
"Memang niat dari awal adalah untuk menyerahkan ini kepada Ketua Menteri Sabah walaupun berapa lama mungkin bermalam, kami akan bermalam di sini untuk menunggu Ketua Menteri Sabah datang.
"Sebab kami mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah datang ke Jabatan Air untuk berbincang dan Khamis lalu ada juga mahasiswa UMS berjumpa dengan Shahelmey (Timbalan Ketua Menteri), jadi kita terus saja kepada Ketua Menteri Sabah," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Menara Kinabalu pada Jumaat.
Ditanya kandungan memorandum yang ingin diserahkan, Mohammad Norhamdin berkata, terdapat enam tuntutan terhadap kerajaan Sabah.
"Pertama tuntutan asas iaitu kami mahu air. Kedua, kami mendesak campur tangan kerajaan Persekutuan membantu kerajaan Sabah secepatnya sebab kami faham bahawa isu air ini adalah di bawah kerajaan negeri.
"Ketiga, kami menggesa campur tangan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti sebelum ini ada isu rasuah di Jabatan Air. Jadi kami desak SPRM masuk semula ke kerajaan Sabah dan UMS untuk semak dan imbang semula.
"Seterusnya, pastikan segala kepincangan dan karenah birokrasi JANS berkaitan air dapat diselesaikan dan kelima kami mahu ketelusan daripada kerajaan Sabah masalah sebenar Sabah, buat satu sidang media khas, beri tahu apa masalah jabatan air ini kenapa Sabah tiada air.
"Terakhir, adalah menggesa rombakan penuh terhadap individu-individu yang berkaitan menguruskan air di Sabah," katanya.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya ketika ditemui berkata, beliau diwakilkan Ketua Menteri untuk menerima memorandum tersebut.
"Namun apa yang dimaklumkan oleh polis yang berhubung dengan ketua demonstrasi ini mereka enggan beri memorandum tersebut kepada saya, dan hanya ingin bagi Ketua Menteri," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, setakat ini situasi perhimpunan tersebut dalam keadaan terkawal.
Namun menurutnya, penganjur perhimpunan ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak memohon permit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!