27 pempengaruh ditahan promosi judi dalam talian
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menahan 27 pempengaruh media sosial semalam kerana disyaki terlibat dalam promosi judi dalam talian di laman sosial masing-masing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka yang terdiri daripada 23 wanita dan empat lelaki berusia 21 hingga 35 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang susulan risikan sejak dua bulan lepas dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
"Siasatan awal mendapati pempengaruh ini bergiat aktif mempromosi judi dalam talian kepada pengikut mereka di media sosial sejak setahun lepas dan menerima bayaran daripada sindiket judi antara RM1,500 hingga RM8,000 sebulan untuk satu platform mengikut jumlah pengikut.
"Berdasarkan siasatan, kebanyakan yang ditahan aktif dalam dua platform media sosial," katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, pempengaruh yang ditahan berselindung di sebalik kegiatan menjual barangan lain di media sosial mereka seperti alat kosmetik.
"Sebanyak 30 buah telefon bimbit telah dirampas dan pihak polis membuat permohonan reman terhadap semua yang ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Dalam kes berasingan Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menahan seorang pempengaruh media sosial 'Miza Ozawa' pada 6 Jun lepas kerana mempromosikan aktiviti persundalan, menjual video lucah lakonan sendiri dan menjual ubat seks tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, pempengaruh berkenaan memperoleh pendapatan kira-kira RM20,000 sebulan hasil jualan video lucah dan ubat seks yang dijalankan.
Menurut beliau, modus operandi wanita berusia 27 tahun itu adalah dengan menjual ubat seks sebelum membuat tawaran kepada pembeli untuk membuat hubungan seks, dan kemudiannya menjual video aksi dengan harga antara RM450 hingga RM550.
Mohd Shuhaily berkata, dalam tangkapan yang dijalankan di Selangor pihaknya turut menahan masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing berusia 20 dan 26 tahun yang berperanan sebagai pelakon dalam video lucah dan dua remaja perempuan berusia 12 dan 17 tahun.
"Dua remaja perempuan ini berperanan sebagai pembantu kepada Miza Ozawa semasa rakaman video seks,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM30,000, sebuah komputer riba serta telefon bimbit dan semua individu berkenaan direman selama 14 hari sehingga 20 Jun ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Siapa influencer tu? #fyp #SinarHarian #influencer #Polis #JudiOnline #MediaSosial #MCMC
The Second Wave - MaxKoMusic
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!