The Experts ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Shanghai
FILEM aksi terbaru terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures, The Experts melakar pencapaian membanggakan apabila dipilih untuk tayangan di Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) yang bermula 14 sehingga 23 Jun.
Diletakkan di bawah segmen ‘The Belt and Road Film Week’, filem itu bakal ditayangkan di beberapa lokasi termasuk di Shanghai, Nanjing, Suzhou, Hangzhou, Ningbo dan Hefei, China.
The Experts menjadi antara filem pilihan untuk segmen tersebut, sebaris dengan filem-filem dari luar antaranya Sima’s Unfinished Narration dari Iran, Pictures of Ghost (Brazil), Matryoshka (Jerman), Children of the Sea (Jepun) dan Nasty (Itali).
Menurut Penerbit Eksekutif The Experts dan juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya berbesar hati dan teruja untuk mempersembahkan filem yang mewakili Malaysia di pentas berprestij seperti Festival Filem Antarabangsa Shanghai.
"Pencapaian ini mengukuhkan maklum balas penonton sebelum ini yang merasakan The Experts memiliki kualiti produksi yang tinggi dengan jalan cerita universal.
"Peluang sebegini pastinya menjadi pemangkin buat kami serta pengkarya seni tanah air untuk terus mempersembahkan naskhah-naskhah hebat dari Malaysia kepada penonton di seluruh dunia," katanya.
Filem The Experts lakonan mantap Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak, Ray Dapdap, Maya Karin dan ramai lagi masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Karya arahan Andre Chiew dan Nazim Shah, mengisahkan lima adik-beradik yang telah lama meninggalkan kegiatan merompak, kembali berkumpul kerana satu ugutan.
Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!