Bekas penjawat awam didakwa kemuka tuntutan palsu lebih RM300,000
LABUAN - Bekas penjawat awam berusia 38 tahun memohon dibicarakan di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RMRM335,933 antara Januari 2015 hingga Januari 2016.
Fairuzul Fazillah Musa, yang berasal dari Sarawak, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia di sini.
Mengikut pertuduhan, Fairuzul secara curang mengemukakan beberapa siri borang tuntutan sebagai dokumen tulen dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Joe Randy memohon jaminan sebanyak RM80,000.
Hakim kemudiannya membenarkan jamian RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes dijadualkan 27 Julai ini untuk sebutan semula. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!