MOTAC perkenal tiga kategori baharu program MM2H
SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ( MOTAC) memperkenalkan tiga kategori baharu dalam Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) iaitu Platinum, Gold dan Silver.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata, ia bagi menjadikannya lebih fleksibel serta mesra warga asing yang berminat dan berpotensi.
Katanya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi antaranya tempoh keberadaan atau bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya selama 90 hari (kumulatif) dalam setahun.
"Ia terbuka kepada individu warga asing dari negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia dan mesti berusia 25 tahun ke atas.
"Antara syarat lain adalah semua permohonan sebagai peserta MM2H sama ada yang baharu atau yang diperbaharui hendaklah dibuat melalui Pusat Sehenti MM2H dan dibenarkan bagi menjalani rawatan jangka panjang di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan tersebut, syarat baharu itu diperkenalkan selaras dengan hasrat kerajaan bagi mengembalikan tarikan Program MM2H kepada individu berpendapatan tinggi yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan hasil negara.
MOTAC turut menegaskan peserta baharu MM2H di bawah semua kategori di atas tidak layak untuk memohon status penduduk tetap (PR).
"Menerusi pendekatan terbaru ini, MOTAC yakin Program MM2H berupaya menarik minat bakal peserta daripada golongan sasaran khususnya individu warga negara asing berpendapatan tinggi dan juga di kalangan nomad digital dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama.
"Kehadiran golongan-golongan ini diharap akan merancakkan lagi ekonomi tempatan terutama dalam industri pelancongan, perumahan, pendidikan, perubatan dan sebagainya sekali gus menjadikan Malaysia hab global yang mempunyai daya saing yang tinggi," ujarnya.
Selain itu, MOTAC menjelaskan pihaknya merujuk syarat-syarat baharu sebelum meluluskan Lesen Perniagaan MM2H.
"Syarat-syarat lesen perniagaan pengendalian pelancongan MM2H adalah modal berbayar syarikat dinaikkan daripada RM50,000 kepada minimum RM200,000 dan fi lesen ditetapkan pada RM2,500.00 setahun.
"Selain itu, lokasi premis perniagaan dengan alamat yang sah, syarikat perlu menyediakan jaminan bank berjumlah RM200,000, mengadakan kontrak dan pendaftaran wakil syarikat yang terdiri daripada perniagaan atau orang persendirian di luar negara serta lain-lain," katanya.
Bagi mendapat butiran lanjut berhubung syarat-syarat tersebut, ia akan diperjelaskan dalam Garis Panduan permohonan Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan (MM2H) yang boleh didapati dalam laman sesawang MOTAC.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!