Beruang matahari sasaran pemburu haram
KUALA LUMPUR - Beruang matahari antara spesies hidupan liar yang sering menjadi mangsa pemburuan haram.
Ini kerana terdapat permintaan tinggi bagi haiwan liar ini di pasaran gelap dengan nilai harga dianggarkan RM30,000 seekor, manakala hempedunya boleh mencecah harga RM2,000 per gram.
Berdasarkan nilai yang tinggi itu, beruang matahari menjadi antara spesies utama sasaran penjenayah selain harimau belang, seladang, rusa sambar, tapir dan gajah.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dianggarkan jumlah beruang matahari yang berada di hutan Malaysia kini hanya sekitar 1,000 ekor.
Menurut beliau, tidak mustahil sekiranya tidak ditangani masalah pemburu haram, jumlah beruang matahari akan terus menyusut dalam beberapa tahun akan datang.
“Seperti Harimau Malaya atau harimau belang, spesies beruang matahari juga berdepan dengan ancaman kepupusan.
"Terdapat pelbagai faktor mendorong kepada ancaman kepupusan beruang matahari antaranya pengecilan kawasan habitat hidupan liar melibatkan penukaran guna tanah bagi tujuan perladangan, penempatan manusia, perbandaran, akuakultur dan empangan.
“Selain itu pembangunan guna tanah yang tidak terancang mewujudkan kawasan pulau-pulau hutan dan fragmentasi hutan yang sekaligus telah membataskan pergerakan spesies ini.
“Akhirnya ia mencetuskan konflik manusia dan hidupan liar yang terjadi kerana pengecilan habitat haiwan liar akibat pembukaan hutan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau memberitahu, beruang matahari menjadi sasaran pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar kerana terdapat permintaan tinggi di pasaran gelap sama ada di dalam mahu pun luar negara.
Kata Abdul Kadir, berdasarkan rekod dan siasatan, kegiatan pemburuan haram beruang matahari ini dijalankan oleh warga tempatan dan asing.
“Kita juga percaya jenayah ini dilakukan membabitkan warga Vietnam dan Kemboja.
“Apa yang dikesan, pemburu haram terutama warga asing ini menceroboh masuk ke dalam hutan negara dan akan berada dalam tempoh masa yang panjang, ada juga hingga berbulan lamanya,” katanya.
Ujar beliau, pemburu haram ini akan memasang jerat di lokasi tertentu dan hasil yang diperolehi kebiasaan akan dilapah di dalam hutan sebelum dibawa keluar.
“Kita tidak menolak kemungkinan ada rangkaian antara satu sama lain iaitu warga asing dan tempatan,” katanya.
Menurut Abdul Kadir, tujuan pemburuan beruang matahari adalah bagi mendapatkan hempedunya yang digunakan dalam perubatan tradisional, manakala daging terutamanya di bahagian tapak tangan dijadikan makanan eksotik.
“Selain itu, kuku dan taring spesies ini dijadikan barang perhiasan dan tangkal, kepala serta kulitnya juga dijadikan sebagai trofi. Ini berdasarkan rekod kes dan siasatan yang dijalankan Perhilitan,” katanya.
NAHAS JALAN RAYA SUMBANG KEPUPUSAN
Mengulas mengenai adakah faktor nahas jalan raya juga menjadi penyumbang kepupusan beruang matahari, Abdul Kadir tidak menafikan perkara itu.
“Kes-kes roadkill (nahas jalan raya) yang berlaku apabila spesies ini cuba melintas jalan untuk mencari sumber makanan atau lebuh raya yang dibina melintasi kawasan berhutan.
"Tahun 2023 merekodkan 367 kes roadkill di mana beruang matahari antara spesies yang menjadi mangsa," ujarnya.
Kata beliau, antara spesies lain yang kerap menjadi mangsa roadkill ialah kera, musang pandan, gajah, harimau kumbang, spesies kucing, memerang, babi hutan dan tapir.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, beruang matahari merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Kata Abdul Kadir, pihaknya memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram spesies ini atau jenayah hidupan liar lain agar menghentikan serta-merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Katanya, orang ramai boleh melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!