'Tiada niat untuk riak, jauh sekali mendabik dada'

Norsalina sering menemani suaminya bekerja.
Norsalina sering menemani suaminya bekerja.
A
A
A

SHAH ALAM - "Tiada niat untuk riak, jauh sekali mendabik dada dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH buat kami sekeluarga. Saya hanya mahu orang tidak pandang rendah kerjaya sebagai badut."

Demikian penjelasan Norsalina Abdul Aziz, 36, isteri kepada Muhammad Ar-Rabi Ab Ghani, 37, yang terlibat dalam perkhidmatan badut secara sepenuh masa.

Malah wanita berasal dari Negeri Sembilan itu amat berbangga dengan kerjaya itu kerana suaminya mampu menyediakan keperluan dan kesenangan kepada mereka sekeluarga.

Menerusi hantaran di laman TikTok, Norsalina memuat naik video mengenai perjalanan kerjaya suaminya sebagai 'penceria' acara sehingga mampu memberi kemewahan antaranya bercuti ke luar negara, berpeluang mengerjakan umrah, membeli sebuah rumah dan emas perhiasan.

Kisah perjalanan kerjaya Muhammad Ar-Rabi yang dikongsikan Norsalina di laman TikTok baru-baru ini.
Kisah perjalanan kerjaya Muhammad Ar-Rabi yang dikongsikan Norsalina di laman TikTok baru-baru ini.

"Sebenarnya semua ini tak dirancang, saya pun tak tahu video itu boleh tular. Niat saya hanya berkongsi pada mereka yang melihat supaya jangan sesekali memandang rendah pekerjaan seseorang.

"Rezeki bukan hanya datang dari pekerjaan kita, tetapi dari ALLAH. Dia berkuasa untuk beri rezeki selagi mana kita usaha dan yakin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Menyingkap kisah hidup mereka, Norsalina memaklumkan, keluarga tidak menolak pilihannya ketika di awal perkahwinan, bahkan menerima pekerjaan Muhammad Ar-Rabi sebagai badut.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Malah menurut wanita itu, ibunya menyifatkan bakal suaminya seorang lelaki yang berani menggalas tanggungjawab untuk menampung kehidupan.

Walaupun pernah dihakimi oleh masyarakat sekeliling, pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata itu hanya memekakkan telinga dan menepis persepsi dengan menjalani kehidupan serba cukup.

"Alhamdulillah, belum lagi makan pasir (kerana) suami buat kerja ini. Ada yang kata badut tak menjamin masa depan, sedangkan dengan kerja inilah suami dapat bawa kami sekeluarga bercuti luar negara.

Hasil pendapatan sebagai badut, Muhammad Ar-Rabi mampu membawa keluarga mengerjakan umrah
Hasil pendapatan sebagai badut, Muhammad Ar-Rabi mampu membawa keluarga mengerjakan umrah

"Saya terima banyak respons, ada juga yang terinspirasi dengan perkongsian kisah hidup kami.

"Ada juga yang kata saya riak bila berkongsi (kemewahan), namun niat saya hanya mahu masyarakat lihat kerjaya badut juga mampu menjamin masa depan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!