GBK fokus jualan buku latihan, novel
SHAH ALAM - Jualan buku serendah RM2 merupakan antara tawaran menarik disediakan untuk pengunjung sempena penganjuran Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 26 hingga 28 Julai ini.
Ketua Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf (GBK), Anis Syamila Abdul Halim berkata, tawaran itu khusus bagi kategori buku latihan dalam kalangan pelajar sekolah dan guru-guru yang hadir ke karnival tersebut.
Menurutnya, selain buku latihan untuk pelajar sekolah, orang ramai turut berpeluang mendapatkan novel terpilih dengan harga serendah RM5 sepanjang tiga hari penganjuran karnival.
“Jualan buku kali ini kami banyak memfokuskan terhadap pelajar sekolah, guru-guru dan juga ibu bapa untuk mendapatkan buku latihan dengan tawaran harga rendah iaitu hanya RM2.
“Selain itu, ada lebih kurang 100 tajuk bagi bahan bacaan seperti novel yang ditawarkan dengan harga RM5 merangkumi genre seram, cinta dan sebagainya tetapi ia sangat terhad serta selagi stok masih ada.
“Sebenarnya, ada banyak lagi tawaran buku yang sesuai untuk semua peringkat usia bermula kanak-kanak hingga golongan tua. Ia peluang baik yang tidak boleh dilepaskan kerana harga ini hanya boleh didapati sepanjang tiga hari karnival sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Karnival Rakyat Karangkraf merupakan karnival mega kedua anjuran Sinar Karangkraf selepas Karnival Pendidikan Sinar Bestari dianjurkan tahun lalu yang berjaya merekodkan kehadiran pengunjung hampir mencecah 100,000 orang.
Tujuan utama penganjuran karnival ini adalah untuk meraikan keunikan warisan budaya Malaysia dan memberikan penghormatan kepada pembaca Sinar Harian yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan keturunan.
Karnival yang akan bermula jam 9 pagi hingga 7 malam itu akan membawa tema tradisional dan kerakyatan dengan mengetengahkan dua komponen utama iaitu Sukan Rakyat dan Pentas Rakyat.
Mengulas lanjut, Anis Syamila berkata, pihaknya turut menampilkan Rumah Puaka Nusantara untuk menguji keberanian pengunjung terutama penggemar genre seram Buku Prima.
“Rumah hantu dahulu lebih kepada Barat tetapi kali ini kami bakal menampilkan dekorasi serta hantu-hantu berkonsepkan tradisional dan klasik yang kita biasa dengar seperti pontianak, pocong, langsuir dan banyak lagi bersesuaian dengan tema.
“Orang ramai yang berminat boleh dapatkan tiket secara ‘walk-in’ dengan harga serendah RM3 sahaja bagi kanak-kanak dan juga dewasa. Sehari terhad 2,000 tiket sahaja, jadi hanya ada lebih kurang 6,000 tiket sahaja untuk tiga hari karnival.
“Bagi kanak-kanak bawah enam tahun yang mahu masuk rumah hantu ini, kami tidak menggalakkan mereka masuk sendiri tetapi mesti ada pengawasan daripada ibu bapa,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!