#KamiMahuAir Sabah: 9 ditahan tiada dokumen pengenalan diri
KOTA KINABALU - Sembilan individu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan polis ketika menyertai perhimpunan #KamiMahuAir Sabah yang dianjurkan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kesemua individu terbabit ditahan selepas mereka hadir ke tempat perhimpunan berkenaan.
"Sebaik mereka beredar menaiki kenderaan, polis telah melakukan pemeriksaan di dalam van yang dinaiki dan didapati sembilan individu tidak memiliki dokumen.
"Semua mereka sudah dibawa ke balai polis dan dalam masih proses dokumentasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum itu, perhimpunan yang dihadiri kira-kira 80 peserta termasuk orang awam berarak kira-kira tiga kilometer dari UMS ke Menara Kinabalu untuk menyampaikan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Kasim berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap kumpulan tersebut.
"Kita juga akan rujuk dengan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!