[VIDEO] Kumpulan mahasiswa #KamiMahuAir bersurai selepas 17 jam berhimpun
KOTA KINABALU - Kumpulan mahasiswa yang melakukan perhimpunan #KamiMahuAir Sabah mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas 17 jam berada di hadapan Menara Kinabalu.
Kordinator Sekreteriat Perhimpunan itu, Mohammad Norhamdin Nordin berkata, mereka juga tidak akan meneruskan himpunan tersebut selepas mendakwa gagal menemui Ketua Menteri.
"Sekarang jam 7 pagi, genap 17 jam mahasiswa berkumpul di depan pusat pentadbiran negeri Sabah.
"Kami dari Sekteriat Perhimpunan #KamiMahuAir kami memutuskan untuk tidak menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah dan meminta beliau mencari sendiri di media sosial," katanya dalam sidang akhbar di hadapan Menara Kinabalu pada Sabtu.
Mohammad Norhamdin dalam pada itu turut menafikan kumpulan tersebut didalangi oleh ahli politik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Sebelum itu, kumpulan yang disertai kira-kira 80 mahasiswa dan orang awam itu berarak kira-kira tiga kilometer dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Menara Kinabalu sambil melaungkan hasrat mereka untuk menghantar memorandum kepada Hajiji.
Bagaimanapun, memorandum tersebut sepatutnya diterima oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya namun kumpulan tersebut enggan menyerahkan kepadanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!