Jerman laung amaran awal di Euro 2024
PENGENDALI Jerman, Julian Nagelsmann memuji elemen bersatu padu dominan dipamerkan Die Mannschaft ketika menang besar 5-1 ke atas Scotland dalam aksi Kumpulan A Euro Jerman 2024 di Stadium Allianz Arena.
Jelas Nagelsmann lagi, beliau tidak mahu memilih individu sebaliknya fokus kepada kejayaan diraih bersama sebagai satu unit pasukan ketika membenam The Tartan Army.
Dalam perlawanan itu juga Scotland kendalian Steve Clarke terpaksa bermain 10 pemain selepas Ryan Porteous dilayangkan kad merah minit ke-44
Jerman memulakan kempen gol menerusi Florian Wirtz (m-10), Jamal Musiala (m-19) dan penalti Kai Havertz (m-46) pada separuh masa pertama sebelum Niclas Fuellkrug (m-68) dan Emre Can (m-93) menambah dua lagi pada lewat babak kedua.
"Walaupun hari ini merupakan langkah pertama, ia adalah langkah yang sangat baik. Kami boleh membina kemenangan ini dan sangat gembira.
“Sangat bagus apabila kami menjaringkan beberapa gol, ia memberikan perasaan yang baik kepada semua orang.
“Dalam 20 minit pertama kami sangat bagus, sangat dominan dan sangat agresif, kami tidak melakukan kesilapan,” katanya selepas permulaan cemerlang kempen di Munich itu.
Penyerang muda Jerman, Florian Wirtz dan Jamal Musiala, 21, menghantar mesej jelas bahawa mereka bersedia untuk membawa Die Mannschaft ke era bola sepak baharu.
Ditanya sama Wirtz dan Musiala, seperti bekas legenda Jerman, Lukas Podolski dan Bastian Schweinsteiger pada 2006, yang mencetuskan gelombang keterujaan negara dan menghidupkan semula Die Mannschaft, Nagelsmann berkata, kemenangan itu dikongsi semua orang sebagai satu unit pasukan.
"Saya tidak mahu memilih persembahan individu, sebaliknya ia mengenai unit pasukan secara keseluruhan. Pemain melakukan segala-galanya untuk memastikan pemain di sebelah mereka juga kelihatan bagus.
"Dan penyokong-penyokong Die Mannschaft mungkin lebih percaya kepada kami sekarang berbanding sebelum perlawanan," katanya.
Sementara itu, Musiala yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut berkata, jaringan skor tinggi berkenaan telah memberikan Jerman keyakinan diri menjelang perlawanan berdepan Hungary di Stadium MHPArena pada 20 Jun.
"Untuk memenangi perlawanan ini dengan selesa adalah satu petanda yang baik. Kami boleh membawa keyakinan itu ke perlawanan seterusnya dan kami tidak akan membiarkannya berlalu begitu sahaja," katanya.
Jerman akan menentang Hungary pada Khamis sebelum menentang Switzerland dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada 24 Jun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!