Miskin tegar di Johor turun 92 peratus - Onn Hafiz

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah miskin tegar di negeri ini menunjukkan penurunan lebih 92 peratus bagi tempoh Mac tahun lalu hingga awal Jun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebelum ini seramai 4,378 ketua isi rumah miskin tegar direkodkan, namun sudah dikurangkan kepada hanya 359 ketua isi rumah.

"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan sifar miskin tegar Johor menjadi satu realiti.

"Antaranya, Program Keluarga Angkat, Dapur Kasih Johor, menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, bantuan baik pulih rumah, bantuan peralatan, latihan dan pendidikan.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan atas segala usaha dan gerak kerja yang dilakukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN), Pejabat-Pejabat Daerah, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Kampung, Penghulu dan semua agensi yang terlibat," katanya dalam muat naik di Facebook pada Sabtu.

Pada 9 Mei lalu, ketika merasmikan pembukaan rasmi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar tiada seorang pun ketua isi rumah bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada 2025.

Baginda bertitah, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mencari dan mengenal pasti golongan terbabit di kawasan masing-masing dalam tempoh 19 bulan akan datang dan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan.

Baginda mahu kesemua ADUN daripada pihak kerajaan dan pengimbang terus berkhidmat kepada rakyat dengan memahami keresahan yang dialami bangsa Johor terutama dari aspek kos sara hidup yang meningkat dan ketidakstabilan harga.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!