Sanusi perlu jana pendapatan, bukan suruh rakyat berhenti minta bantuan - Mahdzir
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah disaran supaya mencari jalan untuk menjana pendapatan baharu bagi membolehkannya menyalurkan bantuan dan membela nasib rakyat miskin di negeri itu.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan bukannya meminta mereka berhenti meminta bantuan daripada kerajaan Pas negeri itu.
Menurutnya, sebagai seorang menteri besar yang dipilih oleh rakyat Kedah, beliau seharusnya memikul tanggungjawab membantu rakyat miskin di negeri itu dan bukannya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat miskin jangan jadikan meminta bantuan daripada kerajaan Pas sebagai budaya hidup.
"Itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada golongan miskin dan sudah tentu ia amat mengecewakan rakyat apabila seorang menteri besar meminta rakyat jangan lagi bergantung harap dengan meminta bantuan daripada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu
Menurutnya, rakyat Kedah yang memilih dan mengundi pimpinan Pas untuk menerajui negeri itu sudah tentu mengharapkan kepimpinan memainkan peranan yang berkesan dalam membantu rakyat miskin yang memerlukan bantuan.
"Mengapa pimpinan Pas ketika berkempen dalam pilihan raya tidak menyebut perkara itu dengan meminta rakyat jangan meminta bantuan daripada wakil rakyat kalau mereka menang?
"Kenapa sekarang apabila menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihan raya, kerajaan negeri meminta rakyat miskin jangan lagi minta bantuan daripada wakil rakyat Pas? Adakah itu membawa maksud pimpinan kerajaan negeri mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap rakyat?" ujarnya.
Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, kerajaan negeri perlu merangka strategi khusus bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan di Kedah.
"Kalau di zaman UMNO dan BN (Barisan Nasional) memerintah dahulu, kita memang meletakkan agenda membasmi kemiskinan rakyat itu sebagai agenda utama yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukannya secara 'one off'.
"Kita pun tak pernah sebut supaya rakyat jangan minta bantuan daripada kerajaan UMNO dan BN ketika kita memerintah," katanya.
Jelasnya, UMNO dan BN ketika ini walaupun sudah tidak menjadi kerajaan di negeri Kedah, tetapi masih lagi mendekati rakyat miskin dengan menghulurkan pelbagai bantuan.
"Ini kerana itu budaya yang sudah menjadi amalan bagi UMNO dan BN untuk membantu rakyat dan kita tidak pernah merungut atau meminta rakyat jangan lagi minta bantuan kita," katanya.
Mahdzir berkata, kerajaan Kedah perlu mengambil tanggungjawab melaksanakan usaha seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan yang menggerakkan usaha penstrukturan semula ekonomi negara pasca Covid-19.
"Menerusi agenda Membangun Malaysia Madani, kita lihat PMX banyak menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar, golongan nelayan, pesawah, penoreh getah, peniaga kecil, kumpulan pelajar dan mahasiswa serta pekerja E-hailing.
"Begitu juga dengan sektor pendidikan, pertanian, bidang kesihatan dan infrastruktur yang diberikan perhatian khusus", katanya.
Sebelum ini, Sanusi dalam satu rakaman video yang tular di Tiktok meminta rakyat miskin di Kedah berhenti menjadikan budaya meminta bantuan daripada kerajaan dan wakil rakyat Pas seperti bantuan baiki dinding dan bumbung rumah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!