Jimat penyelarasan subsidi diesel dengan tingkatkan kereta api - Rafizi
SHAH ALAM - Kerajaan akan mengalihkan penjimatan penyelarasan subsidi diesel dengan meningkatkan jumlah kereta api di negara ini agar rakyat dapat menggunakan pengangkutan awam itu secara menyeluruh.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia kerana kereta api tidak mencukupi dan kerajaan berhasrat untuk menaik taraf kereta api dari Padang Besar ke Johor Bahru dalam tempoh lima tahun daripada sekarang agar 30 peratus kapasiti penggunaannya mampu meningkat berkali-kali ganda.
Menurut beliau, hasrat itu selari dengan salah satu matlamat penyelarasan semula subsidi iaitu memastikan hanya orang yang layak mendapat subsidi dan selebihnya dilaburkan untuk infrastruktur utama negara.
"Landasan kereta api kita boleh tahan hebat, kerajaan terdahulu belanja lebih RM20 bilion untuk buat landasan kereta api berkembar dari Padang Besar ke Johor Bahru, tetapi kereta api yang ada hanya gunakan 30 peratus kapasiti sahaja.
"Kalau tanya orang, mereka masih maki kita sebab kereta api tak cukup.
"Jika kita ada wang, lori kontena tak bising sangat mengenai diesel sebab mereka akan gunakan kereta api,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.
Menurutnya, untuk tempoh seterusnya harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan (MoF).
Mengulas lanjut, Rafizi berpandangan, sekiranya kapasiti kereta api meningkat, rakyat yang memandu kenderaan dan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan jalan raya akan berkurangan tahun demi tahun.
"Cerita sekarang ini, bagaimana kita nak bergerak ke hadapan? Masalah ini tak boleh serahkan kepada orang lain, kita sedia maklum segala masalah ini maka keputusan perlu dibuat.
"Sebelah sana (pembangkang) akan janji atau maki macam-macam sebab mereka fikir kemudian,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!