Belanda tak letak harapan tinggi
BELANDA tidak meletakkan harapan tinggi dalam saingan Euro 2024 apabila tiba di Jerman dengan skuad tempang.
Skuad The Orange sebaliknya mahu menjadikan kejohanan berprestij Eropah itu sebagai pentas membentuk pasukan mantap untuk mengharungi Piala Dunia 2026.
Mereka tampil dengan serba kekurangan apabila tiga tonggak Frenkie de Jong, Teun Koopmeiners dan Marten de Roon tidak menyertai pasukan susulan masalah kecederaan.
Pertahanan Belanda, Denzel Dumfries memberitahu, tumpuan mereka adalah untuk memperbaiki prestasi pasukan dan tidak meletakkan sasaran besar di Jerman.
"Kami sememangnya mahu memburu keputusan terbaik, namun kami sedar kekurangan yang ada dalam pasukan apabila beberapa pemain utama dibelenggu kecederaan.
"Tetapi kami mempunyai beberapa pemain yang mempunyai pengalaman diperlukan dalam kejohanan ini, jadi kami perlu menggunakannya untuk kelebihan itu.
"Apa pun fokus kami untuk memastikan kami hadir lebih garang dalam kejohanan berikutnya," katanya.
Belanda akan membuka tirai saingan menentang Poland dalam aksi Kumpulan D di Volks Park pada malam Ahad.
Sejak sedekad lalu, Belanda sering gagal termasuk tidak layak beraksi di Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 sebelum terkandas pada pusingan 16 terbaik edisi Euro sebelum ini.
Louis van Gaal mengemudi pasukan di Piala Dunia 2022 dan berjaya membawa Belanda ke suku akhir sebelum tumpas kepada Argentina yang kemudiannya muncul juara dunia.
Bagaimanapun kali ini, pasukan itu dibimbing Ronald Koeman yang diberi peluang membina semula pasukan agar Belanda tampil selaku kuasa bola sepak dunia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!