33,362 saman dalam 11 hari OP HUU di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Sebanyak 33,362 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan bagi Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya (Op HUU) Polis Kuala Lumpur, sepanjang 11 hari sehingga Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, tindakan itu diambil hasil pelaksanaan 211 operasi di sekitar ibu kota.
"Kesalahan halangan lalu lintas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 25,405 saman, berhenti di laluan pejalan kaki (1,901), tiada lesen memandu (939), kesalahan nombor plat (431), dan cukai jalan tamat tempoh (585).
"Selain itu, tidak ikat topi keledar (88), tiada nombor pendaftaran (192), tiada cermin sisi (392), menggunakan telefon (186), tidak tampal P (220), lesen tamat tempoh (140), lampu brek tidak fungsi (23), ubahsuai kenderaan (51) dan tiada perlindungan insurans (47)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sarifudin berkata, seramai 374 pegawai kanan dan 4,236 anggota JSPT Kuala Lumpur ditugaskan sepanjang tempoh tersebut selain dibantu beberapa anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“JSPT Kuala Lumpur turut melakukan 66 tangkapan dan menyita lima buah motosikal dan sebuah lori,” katanya.
Pada 31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan terus melaksanakan Op HUU sehingga 15 Jun ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, operasi itu akan menggunakan konsep sama iaitu memberi penekanan utama membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, garisan putih, nombor pendaftaran, motosikal, didik, parkir haram, lampu merah dan telefon bimbit.
Sebelum ini, Op HUU dijalankan dua fasa dengan Fasa 1 dilaksanakan pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pada 15 sehingga 29 September 2023.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!