Vaksin denggi Qdenga dijual pada harga sehingga RM550

Harga vaksin denggi Qdenga boleh didapati di pasaran pada harga sehingga RM550 untuk dua dos.
Harga vaksin denggi Qdenga boleh didapati di pasaran pada harga sehingga RM550 untuk dua dos.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Vaksin demam denggi, Qdenga yang dilancarkan baru-baru ini boleh didapati di farmasi terpilih pada harga pasaran sehingga RM550 untuk dua dos.

Ia berdasarkan laporan laman teleperubatan mendapati vaksin yang memerlukan dua dos tersebut ditawarkan pada harga kira-kira RM550, lapor The Star.

Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Shanmuganathan Ganeson berkata, buat masa ini vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal Takeda boleh didapati di klinik atau fasiliti kesihatan swasta sahaja melalui beberapa pengedar.

"Permintaan untuk vaksin ini belum ada, ia hanya membantu mengurangkan kesakitan dan mencegah penularan penyakit.

"Saya turut menjangkakan beberapa keraguan mengenai vaksin terbaharu ini, namun Qdenga mesti dapat diakses orang ramai," katanya pada Sabtu.

Qdenga tersedia dalam jadual dua dos selang tiga bulan dan boleh diberikan kepada kategori penerima berusia empat tahun ke atas.

Vaksin diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Berkuasa Kawalan Dadah Negara terbabit berupaya memberikan perlindungan signifikan terhadap empat serotip virus yang menyebabkan denggi iaitu sebanyak 80.2 peratus kepada pesakit selepas 12 bulan.

Pakar Virologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi memaklumkan, vaksin berkenaan perlu dijual dengan harga yang lebih berpatutan kerana terbukti berkesan dan berupaya mengurangkan kadar kemasukan pesakit denggi bergejala teruk ke hospital.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, masalah kos menjadi cabaran untuk membangunkan program vaksinasi buat masa sekarang kerana ia tidak mampu ditanggung kerajaan dan orang awam.

Justeru beliau berpandangan, kerajaan perlu bekerjasama dengan pengeluar vaksin dan penyedia penjagaan kesihatan swasta untuk mencari mekanisme sesuai bagi menguruskan Qdenga kepada golongan sasar terpilih seperti kanak-kanak yang menetap di kawasan berisiko tinggi.

"Vaksin ini boleh menyelamatkan nyawa dan kos serta meringankan beban kesihatan.

"Diharapkan pengeluar dan klinik swasta bukan sahaja perlu memikirkan margin keuntungan yang besar, tetapi menjadikannya mampu milik kepada kerajaan serta orang ramai," ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!