Pembantu Indonesia dilayan macam hamba, tidak dibayar gaji diselamatkan
SHAH ALAM - Tidak pernah menerima gaji antara enam bulan hingga dua tahun sepanjang bekerja antara nasib dialami 17 pembantu rumah warga Indonesia sebelum diselamatkan dalam operasi di sebuah rumah, dekat sini pada Jumaat.
Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut menahan tiga individu warga tempatan di rumah yang dijadikan asrama syarikat perkhidmatan pembantu rumah itu.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, fokus operasi bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
"Serbuan dijalankan berjaya menyelamatkan 17 wanita dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia eksploitasi buruh paksa.
"Kesemua mereka berumur antara 25 tahun sehingga 45 tahun merupakan pembantu rumah," katanya pada Sabtu.
Katanya, selain itu tiga lelaki warga tempatan berumur antara 31 tahun sehingga 40 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan.
"Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek ini terdiri daripada majikan dan penyelia yang berperanan mengambil dan menghantar mangsa-mangsa ke tempat kerja.
"Selain itu, siasatan dijalankan mendapati mangsa-mangsa telah bekerja antara enam bulan sehingga dua tahun dengan majikan mereka selain mendakwa tidak pernah menerima sebarang bayaran gaji," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!