Warga emas berhak dapat hak mutlak, menua dengan bermaruah

Wan Azizah sewaktu memberi ucapan perasmian di Majlis Peluncuran Kempen Menua Dengan Bermaruah pada Sabtu.
Wan Azizah sewaktu memberi ucapan perasmian di Majlis Peluncuran Kempen Menua Dengan Bermaruah pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga emas berhak mendapat hak mutlak iaitu dihormati dan dilindungi daripada sebarang penderaan ketika tua menerusi kerjasama menyeluruh melibatkan semua pihak.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, inisiatif tersebut akan diperkasakan menerusi Kempen Menua Dengan Bermaruah yang dilancarkan pada Sabtu.

"Menerusi kempen ini kita akan meningkatkan kesedaran lebih banyak pihak mengenai kepentingan memberi layanan terbaik kepada warga emas.

"Kita mahu ada satu penguatkuasaan kukuh agar rakyat dapat menua dengan baik. Kita akan drafkan satu Rang Undang-undang (RUU) warga emas negara yang menumpukan kepada aspek perlindungan, kebajikan, hak asasi dan pemerkasaan golongan terbabit.

"Semua ini bagi memastikan mereka sentiasa dihormati dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah, namun apa yang penting adalah kerjasama pelbagai pihak di semua peringkat," katanya ketika memberi ucapan perasmian Kempen Menua Dengan Bermaruah di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Penasihat Strategik Kanan Institusi Penyelidikan (Seri), Yolanda Augustine; Mentor kempen, Datuk Habsah Hassan; ahli jawatankuasa kempen dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.

Wan Azizah sewaktu memberi ucapan perasmian di Majlis Peluncuran Kempen Menua Dengan Bermaruah pada Sabtu.
Wan Azizah sewaktu memberi ucapan perasmian di Majlis Peluncuran Kempen Menua Dengan Bermaruah pada Sabtu.

Kempen anjuran Empati Malaysia itu bersempena Hari Kesedaran Penderaan Warga Emas Sedunia dan melibatkan 14 NGO dari seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Kempennya, Loh Ker Chean memaklumkan, tujuan utama ia dilaksanakan adalah untuk memahami lebih mendalam mengenai isu yang dihadapi oleh warga emas seluruh negara.

"Perkara ini sangat penting supaya kita dapat membawa (isu) kepada pihak atasan atau ahli Parlimen untuk rangka dasar baharu.

"Jumlah warga emas setiap tahun semakin meningkat dan sebenarnya ada banyak keperluan yang perlu diteliti dengan baik," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi kempen berkenaan satu alat iaitu penggera peribadi telah diperkenalkan bagi memudahkan mereka meminta bantuan ketika berlaku kecemasan.

Menurutnya, ia diberikan kepada setiap peserta yang menyertai bengkel mengikut lokasi di negeri masing-masing pada waktu dan tarikh ditetapkan.

"Kita akan bekerjasama dengan NGO di setiap negeri untuk turun memberi penerangan berkenaan kempen dan mereka akan dibekalkan kit mengandungi penggera peribadi dan sekeping risalah.

"Dalam kotak alat tersebut kita sediakan penerangan dengan pelbagai bahasa bagi memudahkan mereka memahami kaedah penggunaannya. Penggera itu boleh bertahan selama satu jam 30 minit apabila diaktifkan.

"Jika berlaku sebarang kecemasan, warga emas yang memiliki alat tersebut boleh menggunakannya untuk mendapatkan bantuan tetapi sebelum itu, penjelasan perlu diberikan kepada orang terdekat supaya mereka peka apabila mendengar isyarat tersebut," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!