KKM teliti senarai pendek kerjasama hospital awam, swasta - Dr Dzulkefly
KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses menyenarai pendek hospital yang bakal terlibat dalam kerjasama awam dan swasta bagi memperkasakan sektor penjagaan kesihatan dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini pihaknya sedang meneliti lebih 100 hospital swasta yang menghantar cadangan atau menyatakan minat untuk menerima pesakit dari hospital awam bagi menampung keperluan empat perkhidmatan perubatan.
"Ia meliputi perkhidmatan nefrologi, perkhidmatan kardiologi, pembedahan kardiotorasik dan pengimejan radiologi.
"Kita telah diperuntukkan sebanyak RM144 juta untuk kita lakukan 'outsourcing' dan kita memberikan peluang kepada hospital-hospital swasta untuk memberikan Request-For-Proposal (RFP)," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pek Kasih Mama di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun beliau memberitahu, kementeriannya masih mempertimbang dan menyenarai pendek hospital swasta yang terlibat dalam kerjasama berkenaan.
Beliau memberitahu, inisiatif itu juga dapat mengatasi masalah masa menunggu di hospital awam.
Sebelum ini, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengulangi tawaran untuk membantu kerajaan menjalankan pembedahan jantung, memandangkan kekurangan pakar bedah kardiotorasik di hospital awam.
Mengulas mengenai program parallel pathway atau laluan selari oleh Fellowship Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed), Dr Dzulkefly memberitahu, perkara itu tidak menjadi isu kerana ia diiktiraf di United Kingdom (UK).
Beliau berkata, felow penyelidik itu secara khususnya lebih kepada program kardiotorasik.
Dzulkefly berkata, beliau telah berhubung dengan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry, yang memaklumkan mengenai isu berkenaan.
"Saya dimaklumkan, Royal College of Surgeons of Edinburgh memang tidak bermasalah kerana telah diiktiraf oleh GMC (Majlis Perubatan Am) UK dan ia tertera secara hitam putih," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!