Kemuka laporan polis sebelum bantuan diberi secara tunai - JKM

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan menguruskan bantuan bulanan secara tunai terhadap seorang penerima bantuannya di Tampin yang akaun banknya dibekukan.

Pengarah JKM, Rosnah Sardi berkata, bagaimanapun penerima berkenaan perlu mengemukakan laporan polis bagi mengesahkan akaun banknya telah dibekukan.

"Penerima ini telah datang jumpa pegawai di JKM Tampin pada 27 Mei lalu dan kita sudah keluarkan surat pengesahan penerima bantuan untuknya buka akaun bank lain bagi membolehkan bantuan diberikan, namun tidak berjaya kerana ditolak pihak bank.

"Jadi kita nak bagi tunai, cuma bayaran tunai ini ada peraturan yang ketat dan klien perlu membuat laporan polis mengesahkan akaun banknya dibekukan. Tetapi klien tidak kemukakan salinan laporan polis sehingga sekarang," katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang warga emas di Tampin menghadapi kesukaran apabila tidak dapat mengeluarkan wang bantuan JKM berikutan akaunnya dibekukan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan.

Zainal Ismail, 67, mendakwa kad banknya hilang pada Mac lalu dan percaya ia telah disalah guna oleh sindiket penipuan sehingga dia menjadi mangsa keldai akaun lalu menyebabkan akaun banknya disekat oleh semua institusi perbankan.

Menurut Rosnah, berikutan itu pihaknya terpaksa memotong bantuan penama.

"Isteri penama bukan warganegara jadi bantuan tak boleh dipindahkan kepada isterinya. Maksudnya jika penama kemukakan laporan polis, kami akan uruskan bantuan secara tunai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!