Polis selamatkan dua OKU warga China dieksploitasi jadi pengemis
JOHOR BAHRU - Dua orang kurang upaya (OKU) warganegara China yang dieksploitasi menjadi pengemis diselamatkan polis selepas menahan seorang wanita dan lelaki tempatan di sekitar bandar raya ini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan telah membuat serbuan di kawasan Jalan Putra, Setia Indah kira-kira jam 8.30 malam.
"Dalam serbuan itu, pihak polis telah membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun bersama seorang lelaki warganegara China yang merupakan pengemis OKU berumur 44 tahun.
"Hasil siasatan lanjut, polis telah menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Johor Jaya dan berjaya menemui seorang lagi lelaki OKU warganegara China berumur 38 tahun yang dijadikan pengemis,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, hasil pandu arah lelaki berkenaan, polis berjaya menahan seorang wanita Cina warga tempatan berumur 48 tahun di Taman Seri Austin kerana disyaki mengeksploitasi dua lelaki OKU warganegara China berkenaan sebagai pengemis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman penjara maksima lima tahun dan sebatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!