[VIDEO] #KamiMahuAir: Mustapha kecewa mahasiswa enggan serah memorandum

A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang enggan menyerahkan memorandum ketika menyertai himpunan #KamiMahuAir Sabah di hadapan Menara Kinabalu, pada Jumaat.

Mustapha juga melihat tindakan itu sebagai satu mesej yang tidak mencerminkan jati diri mereka sebagai seorang mahasiswa.

"Itu yang saya agak kecewa bila mereka ingin juga menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor).

"Saya fikir itu agar keterlaluan, perjuangan kita ini ialah untuk membantu menyelesaikan isu air," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Belia Madani di UMS pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, walaupun memorandum itu diserahkan kepada wakil namun akhirnya ia tetap akan disampaikan kepada Ketua Menteri.

Mustapha
Mustapha

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya harap supaya jangan perkara ini berulang sebab bila diserahkan kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Ir Shahelmey Yahya), memorandum itu juga akan disampaikan kepada Ketua Menteri dan beliau (Shahelmey) juga adalah yang bertanggungjawab ke atas isu air.

"Saya fikir mereka hantar saja memorandum itu dan tidak perlu sampai bermalam menunggu, itu memberi mesej yang agak tidak baik sebagai seorang mahasiswa," katanya.

Katanya lagi, sebagai pemimpin termasuk di peringkat kementerian, pihaknya sentiasa mendengar suara rakyat termasuk mahasiswa yang meluahkan masalah mereka.

Mustapha (duduk empat dari kanan) bersama mahasiswa yang hadir pada Forum Belia Madani di UMS.
Mustapha (duduk empat dari kanan) bersama mahasiswa yang hadir pada Forum Belia Madani di UMS.

"Kita mahu beri komitmen kepada mahasiswa bahawa kita dengar, bukan kita tutup telinga, kita dengar semua masalah ini dan kita ambil tindakan mengikut fasa-fasa yang kita cuba terdaya di peringkat negeri dan pusat, jadi mohon bersabar.

"Saya juga mahu mengajak Suara Mahasiswa, kita akan anjurkan forum di bawah Forum Belia Madani supaya mereka hantar wakil untuk membincangkan isu ini dalam forum.

"Kita boleh tampilkan pihak-pihak yang berkuasa menerangkan supaya mereka mendapat maklumat sebab saya lihat ada maklumat yang tidak sampai kepada pelajar-pelajar ini," katanya.

Sementara itu beliau menyarankan pihak UMS membuat laporan polis jika masih ada pihak yang mengeluarkan kenyataan bahawa dana RM5 juta yang diperuntukkan kepada universiti itu bagi membantu mengurangkan masalah air diseleweng.

Menurutnya, tindakan perlu diambil kerana kenyataan itu satu tuduhan yang berat dan boleh menjejaskan krediabiliti pengurusan UMS.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga tidak mahu isu dana RM5 juta tersebut dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak atau disalahertikan oleh kelompok mahasiswa tersebut.

"Mereka boleh ajak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat atau tidak tapi saya tegaskan di sini bahawa duit itu memang diperuntukkan untuk kegunaan di dalam kampus UMS.

"Jadi saya fikir ia tidak baik untuk imej UMS dan kita akan bertindak jika ada lagi mana-mana pihak yang cuba mengutarakan isu ini," tegas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!