TikTok, Telegram diminta turun kandungan maklumat siasatan kes Zayn Rayyan
CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memaklumkan kepada pengendali platform media sosial untuk menurunkan kandungan dakwaan maklumat siasatan berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Komunikasi Korporat SKMM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan dakwaan maklumat siasatan berkenaan.
"Permohonan untuk menurunkan kandungan berkenaan telah dimaklumkan kepada pengendali platform media sosial termasuk TikTok dan Telegram.
"Penyebaran dakwaan maklumat siasatan kes tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu perbicaraan kes," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu.
"Pengguna media sosial juga dinasihatkan untuk memadam hantaran atau sebarang komen yang boleh menimbulkan spekulasi.
"Berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata kenyataan itu.
Terdahulu, polis memaklumkan pihaknya menerima dua laporan berkaitan kebocoran kertas siasatan didakwa berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan pada Jumaat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan polis berkenaan masing-masing dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pembunuhan ini.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila tangkap layar maklumat siasatan kes Zayn Rayyan tersebar sehingga mencetuskan kegusaran orang ramai yang sentiasa mengikuti perkembangan kes kanak-kanak terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!