'Uncle' Umar mahu jumpa kanak-kanak diselamatkan 19 tahun lepas

Umar menunjukkan kad ucapan yang diterima daripada kanak-kanak yang diselamatkan selepas beberapa bulan insiden tersebut. Foto Bernama
Umar menunjukkan kad ucapan yang diterima daripada kanak-kanak yang diselamatkan selepas beberapa bulan insiden tersebut. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun sudah 19 tahun berlalu, namun bagi pesara polis ini, kenangan menyelamatkan seorang kanak-kanak hampir lemas di sebuah kolam mandi di ibu kota masih berbekas di hatinya sehingga beliau sering tertanya-tanya khabar kanak-kanak lelaki itu yang kini telah menginjak usia dewasa.

Masih menyimpan harapan, Umar Kamarudin, 67, yang bersara dengan pangkat Superintendan di Bukit Aman berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk berjumpa kembali kanak-kanak yang diselamatkannya itu termasuk di media sosial namun sehingga kini menemukan jalan buntu.

Umar. Foto Bernama
Umar. Foto Bernama

"Apabila saya telah di usia emas ini, saya teringin sekali berjumpa dia. Kalau boleh, saya ingin mengetahui apa perkembangan dia sekarang ini. Dengan izin ALLAH kalau saya dapat menemui dia, saya rasa seronok kerana dapat melihat dia dewasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, kali terakhir mendapat khabar daripada kanak-kanak itu adalah selepas beberapa bulan insiden tersebut apabila menerima kad ucapan yang tertulis 'Dear Uncle Umar bin Kamarudin, Thank you very much! From Desmond Kwek Bo Yang'.

"Sudah tentu saya gembira dan menyimpan kad tersebut yang menjadi satu-satunya ‘catatan kenangan’ daripada kanak-kanak itu, disimpan dan dijaga dengan rapi.

"Saya tidak tahu bagaimana mereka dapat alamat rumah dan saya juga tidak tahu cara untuk berhubung dengan mereka pada waktu itu,” katanya yang kini bekerja sebagai pengarah projek di sebuah syarikat pembinaan tempatan.

Umar bersara dengan pangkat Superintenden di Bukit Aman. Foto Bernama
Umar bersara dengan pangkat Superintenden di Bukit Aman. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Mengimbau kembali, Umar berkata, kejadian tersebut berlaku pada tanggal 8 Mei 2005 ketika beliau bersama isteri dan dua anaknya berada di kolam renang KL Plaza Suites, yang kini dikenali sebagai Fahrenheit Suites, untuk bermandi-manda di hujung minggu.

Ketika itu, beliau yang berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) duduk lebih kurang satu meter dari kolam renang kanak-kanak bersebelahan kolam renang dewasa sambil memerhatikan gelagat dua anaknya yang sedang mandi di bahagian kanak-kanak.

Bagaimanapun, ketika sedang memerhatikan keadaan sekeliling, lirik matanya terpandang ke arah seorang kanak-kanak lelaki di kolam renang dewasa yang kelihatan terkapai-kapai cuba mengapungkan diri.

"Selepas beberapa minit apabila saya toleh kembali, kanak-kanak itu sudah tiada di permukaan kolam...lalu saya terus berlari ke kolam itu dan mendapati dia berada di dasar kolam dalam keadaan tertiarap. Saya jerit pada orang ramai yang berada di dalam kolam itu untuk menggapai kanak-kanak itu.

"Saya tengok dia sudah lembik dengan muka pucat kekuningan...ikhtiar saya ketika itu hanya mahu menyelamatkannya dengan CPR (bantuan pernafasan kecemasan) yang saya pelajari dalam pasukan polis,” katanya yang turut menambah tiada anggota penyelamat ketika itu.

Walaupun sudah 19 tahun berlalu, kenangan menyelamatkan seorang kanak-kanak hampir lemas di sebuah kolam mandi di ibu kota masih berbekas di hati Umar. Foto Bernama
Walaupun sudah 19 tahun berlalu, kenangan menyelamatkan seorang kanak-kanak hampir lemas di sebuah kolam mandi di ibu kota masih berbekas di hati Umar. Foto Bernama

Menurut bapa kepada empat anak itu, suasana kolam renang yang riuh rendah dengan gelak ketawa bertukar 'kaku' kerana masing-masing terkejut melihat insiden tersebut dan tidak lama kemudian ibu bapa kanak-kanak itu menghampiri Umar dalam keadaan cemas melihat badan anak mereka yang terkulai.

Justeru, Umar segera berusaha sedaya upaya melakukan CPR bagi menyelamatkan kanak-kanak yang berusia lebih kurang enam atau tujuh tahun itu dan hasil tindakan pantas tersebut, berjaya membuatkan kanak-kanak itu tersedar lalu memuntahkan air.

"Tidak lama kemudian, pasukan bantuan kecemasan tiba di tempat kejadian dan membawa kanak-kanak itu menaiki ambulans ke hospital untuk rawatan lanjut. Itulah kali terakhir saya melihat kanak-kanak itu.

"Sebagai orang tua, saya anggap dia seperti anak saya juga. Jika diberi peluang, saya mahu jumpa, lihat dia dan bertanyakan khabarnya,” katanya yang terus berharap untuk bertemu Desmond Kwek Bo Yang serta meluangkan masa dengannya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!