Koperasi PKNS Berhad meterai MoU tiga organisasi korporat
SHAH ALAM - Koperasi PKNS Berhad (KPB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga organisasi korporat iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, Norhendi Design and Build Sdn Bhd dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Koperasi PKNS dalam kenyataannya memberitahu, MoU ditandatangani pada 8 Jun itu bertujuan meneroka dan meluaskan perkembangan perniagaan serta kerjasama erat antara pihak berkaitan.
"Selain itu, majlis menandatangani MoU ini merupakan simbolik kepada usaha berterusan Koperasi PKNS Berhad untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perniagaan selaras dengan hasrat menjadi 100 koperasi terbaik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Majlis MoU ini diwakili oleh Ketua Strategik Perhubungan Perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad, Norman Awang; Pengarah Urusan Norhendi Design and Build Sdn Bhd, Norhendi Suriawan Suriya dan UKKM diwakili oleh Dekan Fakulti Siswazah Perniagaan, Professor Dr Mohd Haizam Mohd Saudi.
Pada majlis itu, turut diadakan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi PKNS Berhad kali ke 48 yang dihadiri kira-kira 600 ahli.
Mesyuarat itu dirasmikan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Cawangan Selangor, Zahir Dahari yang turut menyaksikan Majlis Menandatangani MoU tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi PKNS Berhad, Ishak Hashim berkata, kerjasama itu sebagai langkah strategik yang akan memberi manfaat besar kepada anggota koperasi.
"Dengan kepakaran tiga organisasi korporat yang mahir dalam industri mereka, kami yakin dapat menawarkan produk yang bukan sahaja menarik tetapi juga berdaya saing," katanya.
Beliau menjelaskan, objektif utama pemeteraian itu juga bagi memperkukuh jalinan kerjasama dan menggembleng kepakaran serta pengalaman antara kesemua pihak untuk memperkasa ekonomi khususnya untuk Ahli KPB.
Beliau memberitahu, usahasama strategik bersama Bank Islam Malaysia Berhad akan memberi fokus kepada pakej insentif khas kepada koperasi melalui pembukaan akaun Al Awfar oleh ahlinya yang menawarkan cabutan bertuah dengan nilai lebih RM18 juta.
Selain itu, katanya, Norhendi Design and Build Sdn Bhd turut menawarkan pakej perkhidmatan hiasan dalaman dengan harga lebih berpatutan selain pengukuhan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pendidikan yang akan dipacu oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Sementara itu, Norhendi Suriawan memberitahu, pihaknya teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan Koperasi PKNS Berhad.
"Kerjasama ini membolehkan kami memperluas jangkauan produk kami dan memenuhi keperluan pasaran koperasi di Malaysia dengan lebih baik," katanya.
Hasrat sama turut disuarakan oleh Bank Islam dan UKKM dengan harapan MoU itu memberi peluang khususnya kepada ahli koperasi sebagai penerima manfaat.
Dengan termeterainya MoU itu, Koperasi PKNS Berhad komited untuk memberikan yang terbaik kepada ahlinya di samping membina masa depan yang lebih cerah untuk sektor koperasi di negara ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!