Pelan kontingensi atasi gangguan bekalan air musim perayaan Aidiladha

SADA menyediakan 108 lori penghantaran air kepada pengguna terjejas sepanjang musim perayaan Aidiladha.
SADA menyediakan 108 lori penghantaran air kepada pengguna terjejas sepanjang musim perayaan Aidiladha.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyediakan pelan kontingensi sepanjang musim perayaan Aidiladha bagi mengatasi gangguan bekalan air di seluruh negeri ini.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@ Munir Zakaria berkata, bagi memastikan bekalan air tidak terjejas, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) menyediakan 108 buah lori penghantaran air kepada pengguna terjejas sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, pelan logistik bantuan bekalan air tersebut membabitkan 28 buah lori tangki SADA, 73 buah lori kontrak dan tujuh lori merupakan tangki jumbo.

“Pelan kontingensi ini disediakan sebagai persiapan awal berdepan gangguan bekalan air, berikutan kita jangkakan akan berlaku peningkatan permintaan air oleh pengguna melebihi 20 peratus di negeri ini sepanjang Aidiladha.

“Pertambahan penggunaan domestik antaranya disebabkan oleh kepulangan warga kota dan perantau ke kampung halaman,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Mohamad Yusoff turut menasihatkan pengguna agar melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air sekurang-kurangnya untuk kegunaan selama dua hari selain berhemah dalam penggunaan air bagi mengurangkan risiko terputus bekalan air.

“Sekiranya berlaku gangguan bekalan air, pengguna boleh hubungi saluran aduan sepanjang musim perayaan menerusi 1300880017 atau WhatsApp 011 6521 0500 atau emel aduan@sada,com.my,” ujarnya.

Menurutnya, biarpun Kedah masih mengalami cuaca panas namun ia tidak menjejaskan bekalan air pada musim perayaan ini.

Artikel Berkaitan:

“Empangan dan paras sungai berada pada tahap normal. Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi pada tahap optimum kecuali bagi LRA Tupah, Gurun dan Merbok yang berdepan masalah kekurangan sumber air.

“Ini kerana kesemua LRA tersebut adalah Loji Rawatan Separa, ketiga-tiga LRA itu menggunakan sumber air dari bukit semata-mata, bukan sumber air sungai,” jelasnya.

Mohamad Yusoff berkata, setakat ini tiada aduan direkodkan dari mana-mana kawasan yang mengalami terputus bekalan air.

“Kemungkinan hanya kawasan yang mendapat sumber bekalan air dari tiga LRA Tupah, Gurun dan Merbok sedikit terjejas kerana sumber air terhad,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih sebulan lalu, pihaknya memohon dilakukan pembenihan awan berikutan cuaca kemarau namun belum mendapat maklum balas.

“Alhamdulillah, kebelakangan ini mulai hujan dan pembenihan awan tidak perlu dibuat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!