Majlis Perundingan Melayu gesa laksana segera sekolah satu aliran
SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera melaksanakan sekolah satu aliran di seluruh negara secara berperingkat memandangkan perpaduan masih belum tercapai, meskipun hampir 70 tahun Malaysia merdeka.
Majlis Perundingan Melayu dalam satu kenyataan bersama tiga badan bukan kerajaan (NGO) lain berkata, keadaan itu berlaku kerana pelajar di negara ini dipisahkan dengan sistem atau acuan berbeza iaitu kewujudan sekolah vernakular sejak awal persekolahan hingga berusia 15 tahun.
"Kuasa Menteri Pendidikan berkaitan dengan kelonggaran bahasa penghantar (bahasa Melayu) dan pembinaan sekolah bukan kebangsaan (juga perlu) diperketat lagi dengan keperluan mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja Melayu agar maruah bahasa Melayu lebih terjaga.
"Selain itu, Perlembagaan Persekutuan wajib dipinda dengan memasukkan klausa bahasa Melayu wajib sebagai bahasa penghantar di semua institusi pendidikan kerajaan, bahasa penghantar utama di institusi lain," kata kenyataan bersama itu pada Sabtu.
Selain itu, kenyataan bersama tersebut turut menuntut supaya kerajaan memansuhkan segera Program Dwibahasa (DLP) versi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 2.0.
"Pihak berkenaan di Pulau Pinang, khasnya dan juga seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, atas semangat kebersamaan, kekitaan sebagai sebuah keluarga dalam satu negara, menghormati keluhuran Perlembagaan Perkara 152 dan kedaulatan undang-undang sebagai undang-undang tertinggi negara," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan bersama itu lagi, semua pihak perlu berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi identiti rakyat di negara ini, berbanding mengangkat bahasa penjajah.
Ujar kenyataan itu, sejarah membuktikan banyak negara tetap mundur meskipun mengambil langkah menjadikan bahasa penjajah dalam pentadbiran dan pendidikan mereka.
"Menyedari banyaknya negara di Afrika selain negara jiran di Asia Tenggara yang menggunakan bahasa penjajahnya dalam pentadbiran dan pendidikan sama ada Inggeris dan Perancis tetapi kekal miskin dan mundur. Ini juga bukti kemajuan tidak mesti melalui penggunaan bahasa Inggeris sahaja.
"Menyedari bukti sejarah dan era semasa yang menunjukkan bahawa tamadun atau kemajuan sesuatu bangsa adalah melalui bahasa bangsa itu sendiri seperti Rusia, Jerman, Inggeris, Sepanyol, China, Korea, Jepun, Turkiye, Finland, Denmark, Thai, malah Vietnam dan Indonesia," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!