Lang Merah mampu pergi lebih jauh
KETUA Jurulatih Tai Po FC, Davor Berber percaya skuad Lang Merah mampu memberi saingan kepada FC Seoul pada Pusingan Ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 pada Selasa depan selepas menampilkan aksi bertenaga ketika menewaskan kelab kendaliannya 5-1 pada aksi di Alor Setar, semalam.
Menurutnya, para pemainnya memberikan cabaran kepada tuan rumah, namun gol awal Lang Merah dan kad merah yang dilayangkan terhadap pemain pelawat menjadi punca kepada kekalahan besar 5-1 mereka di Stadium Darul Aman.
"Tahniah kepada Kedah, semoga berjaya pada pusingan seterusnya bertemu FC Seoul. Mereka adalah sebuah pasukan yang bagus. Mereka mampu mara jauh dalam saingan ACL 2020," katanya pada sidang media semalam.
Davor berkata, beliau tetap positif dan terbuka menerima kekalahan tersebut selepas menurunkan kesebelasan utama terbaik yang dimilikinya.
"Paling penting adalah pengalaman buat para pemain muda kami untuk mereka guna pada masa hadapan.
"Bukan mudah untuk menandingi sebuah pasukan yang bagus dengan 10 pemain untuk tempoh 60 minit. Ada pemain kami pertama kali beraksi di pentas ACL dan mereka berusaha memberikan segala-galanya sebaik mungkin," katanya.
Tambahnya, keadaan mungkin berbeza sekiranya Tai Po FC beraksi dengan skuad lengkap dan pemain utamanya tidak cedera dalam usaha memberikan saingan kepada tuan rumah.
Pada perlawanan itu, Tai Po FC terpaksa beraksi 10 pemain selepas Sum Ming Him dilayangkan kad merah pada minit ke-32.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!