Jenazah pendaki, Allahyarham Zulkifli selamat dikebumikan

Nenek Allahyarham Zulkifli Yusof, Meah Md Saat, 91, (kiri) kelihatan sedih sejurus jenazah selamat tiba di kampung halaman pada 11.45 pagi tadi.
Nenek Allahyarham Zulkifli Yusof, Meah Md Saat, 91, (kiri) kelihatan sedih sejurus jenazah selamat tiba di kampung halaman pada 11.45 pagi tadi.
A
A
A

TAIPING - Jenazah pendaki Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, yang meninggal dunia semasa menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara, selamat dikebumikan 2.30 petang tadi di Tanah Perkuburan Kg Temelok, Trong di sini, hari ini.

Lebih 100 ahli keluarga, penduduk setempat dan kenalan rapat Allahyarham, antara yang hadir di tanah perkuburan itu bagi memberikan penghormatan terakhir buatnya.

Terdahulu, jenazah dibawa ke kediaman neneknya di Kampung Temerlok, Trong sekitar jam 11.45 pagi dan kemudiannya di sembahyangkan di Masjid Kampung Temerlok pada 1.45 tengah hari, sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Hari ini, jenazah yang dibawa melalui pesawat kargo Korean Airlines (KE373) dari Incheon, Korea Selatan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 8.42 pagi, selepas diterbangkan pulang ke tanah air, jam 7.15 pagi Rabu (waktu tempatan) dengan penerbangan transit dari Los Angeles.

Sementara itu, adik kedua Zulkifli, Zarina Yusof, 35, melahirkan rasa lega kerana urusan membawa pulang jenazah abangnya ke negara ini telah dipermudahkan dengan usaha dan kerjasama semua pihak yang membantu.

Beliau berkata, walaupun masih bersedih dengan tragedi yang menimpa, namun setiap ahli keluarga reda dengan pemergian Zulkifli.

"Kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan membawa pulang jenazah arwah abang, khususnya pihak Kedutaan Malaysia di Los Angeles,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Manakala wakil Kelab Alpine Malaysia (ACM) Mohd Shobir Ahmad, 50, berkata, Allahyarham merupakan seorang sahabat yang baik selain tidak pernah meninggalkan solat meskipun ketika berada di puncak gunung.

Artikel Berkaitan:

"Ajoi (Zulkifli) ialah seorang yang peramah dan sering membantu kawan-kawan semasa melakukan aktiviti pendakian. Dia juga seorang yang taat pada agama dan tetap melakukan sembahyang apabila masuk waktu meskipun pada ketika berada di puncak gunung,” katanya.

Mohd Shobir berkata, kali terakhir beliau bersua muka dengan Allahyarham ialah ketika berada di puncak Mera Peak, Nepal pada bulan November tahun lalu, semasa bersama-sama dalam ekspedisi tersebut.

Pada 1 Jun, ACM memaklumkan Zulkifli antara tiga pendaki dari Malaysia yang terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di gunung tertinggi di benua Amerika Utara, sejak 28 Mei ketika membuat pendakian.

Kelab berkenaan turut memaklumkan Zulkifli meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan) semasa berlindung di gua salji yang dikenali sebagai football field. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!