Khutbah Arafah ajak jemaah kembali kepada fitrah

Mohd Naim membaca khutbah Arafah bertajuk 'Kembali kepada fitrah' di khemah A Maktab 80 di sini, pada Sabtu.
Mohd Naim membaca khutbah Arafah bertajuk 'Kembali kepada fitrah' di khemah A Maktab 80 di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ARAFAH - Umat Islam, khususnya jemaah haji Malaysia dinasihatkan kembali ke fitrah akidah yang sebenar dan menyedari semua yang dimiliki hanyalah pinjaman daripada ALLAH SWT.

Khutbah Arafah bertajuk 'Kembali kepada fitrah’ disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar kepada jemaah Malaysia yang berwukuf di bumi Arafah, hari ini menekankan kepentingan perkara itu kepada seluruh Dhuyufurrahman.

Menurutnya, waktu berwukuf di Arafah adalah masa terbaik untuk jemaah haji bermuhasabah dan menilai sejauh mana tanggungjawab sebagai hamba ALLAH SWT.

“Dengan rahmat ALLAH SWT jua, yang telah memberi kesihatan tubuh badan kita untuk menghadirkan kita ke sini bagi melaksanakan ibadah wukuf. Kita insafi betapa kerdilnya diri kita sebagai seorang manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa pun di dunia ini.

“Semua yang kita miliki hanyalah pinjaman daripada ALLAH SWT dan akan sampai masanya kelak, kita akan kembali kepada-Nya dan harta, pangkat, keluarga semuanya akan tinggal di dunia yang fana,” katanya.

Mohd Naim berkata, ibadah haji menuntut manusia untuk kembali kepada fitrah dengan beriman kepada ALLAH dan menolak segala bentuk mensyirikkan ALLAH.

“Melalui manasik haji ini secara tidak langsung dapat mendidik manusia untuk memperkukuhkan akidah, memperbaiki amal ibadah dan membentuk keperibadian akhlak yang mulia.

“ALLAH SWT ingin mendidik kita menerusi ibadah haji dengan beberapa peraturan dan larangan dalam melakukan perbuatan yang membinasakan dan merosakkan. Termasuk juga kepentingan memelihara lidah dan pertuturan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kembali kepada fitrah manusia yang mencintai kebaikan dan ketaatan, maka peliharalah segala bentuk didikan haji yang telah diperolehi dengan memelihara diri dari melakukan kemaksiatan dan kemungkaran,” katanya.

Mohd Naim mengingatkan jemaah haji agar bersyukur atas jemputan menjadi tetamu ALLAH SWT dan dapat menunaikan kemuncak ibadah haji dengan berwukuf di Arafah.

“Beruntungnya kita yang telah terpilih menjadi tetamu ALLAH SWT pada tahun ini kerana di sana masih ada sebahagian umat Islam yang ternanti-nanti giliran mereka untuk dijemput sebagai tetamu-Nya bagi menyempurnakan ibadah haji di Tanah Suci ini,” katanya.

Beluay menggesa jemaah haji perbanyakkan solat taubat dan berdoa memohon keampunan semasa berada di Arafah.

“Pada kesempatan ini juga, saya menyeru kepada diri saya dan para tetamu ALLAH SWT untuk kita sama-sama memberi tumpuan seluruh jiwa dan raga untuk kembali kepada fitrah mentaati ALLAH SWT.

“Perbanyakkan solat taubat dan berdoa semoga ALLAH SWT mengampunkan segala kesalahan dan kekhilafan kita sebagai seorang manusia yang lemah.

“Tanamkan keazaman yang kuat untuk tidak mengulangi maksiat yang pernah kita lakukan. Mohonlah keampunan terhadap segala dosa yang pernah kita lakukan tanpa segan dan malu sedangkan ALLAH Maha Melihat perbuatan dosa yang kita lakukan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!