Sistem pendidikan KAFA perlu dinamik
PUTRAJAYA - Sistem Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, peranan pendidikan KAFA sangat relevan dalam mendukung aspirasi pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan yang berakhlak tinggi.
"Kita harus sedar bahawa landskap pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Anak-anak murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar memiliki modal insan yang berkualiti dan berakhlak mulia.
"Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan dalam konteks ini, NKRA merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat bagi memantapkan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Al-Qur’an dan Fardhu Ain (UPKK) dan Sambutan Hari Guru Institut Pendidikan Islam Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi tahun 2024 di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Menurut Fadillah, Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dalam usaha melahirkan anak-anak murid KAFA yang cemerlang dan kompeten bagi mencapai standard kualiti yang ditetapkan demi merealisasikan aspirasi dan agenda Malaysia Madani.
"Oleh yang demikian, amalan urus tadbir KAFA yang baik hendaklah sentiasa diberi fokus dan dipertingkatkan bagi membantu usaha Kementerian Pendidikan dalam melengkapkan nilai modal insan cemerlang,” katanya.
Menyentuh mengenai peranan guru pula, katanya mereka juga perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.
"Ini terutamanya dalam usaha merangsang minda, menguji daya kreativiti dan inovasi, mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan mengasah ketajaman penaakulan para murid,” katanya.
Majlis tersebut diadakan bertujuan meraikan kejayaan murid dan menghargai jasa guru yang telah memberikan sumbangan dan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sekali gus mengharumkan nama sekolah dan mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2023.
Selain itu, majlis tersebut bertujuan meraikan 666 orang murid cemerlang dalam peperiksaan UPKK yang berjaya memperoleh 8A sesi 2023 bagi zon Putrajaya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!