6 pemimpin kerajaan, pembangkang gesa kuat kuasa undang-undang keganasan libatkan atlet

Dari kiri: Akmal Saleh, Afnan Hamimi, Daniel Gooi Zi Sen, Najwan Halimi, Mohd Hasbie Muda, dan Wan Ahmad Fayhsal
Dari kiri: Akmal Saleh, Afnan Hamimi, Daniel Gooi Zi Sen, Najwan Halimi, Mohd Hasbie Muda, dan Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Enam pemimpin kerajaan dan pembangkang menggesa pihak berkuasa menangani insiden keganasan melibatkan atlet sukan dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Menerusi satu kenyataan bersama itu, mereka berkata, langkah berkenaan perlu diambil kerana ia berpotensi untuk berulang pada masa akan datang.

Menurutnya, insiden keganasan yang berlaku terhadap beberapa pemain bola sepak baru-baru ini merupakan titik hitam dalam dunia sukan negara.

“Kami amat terkesan tatkala menekuni sidang media terkait perkembangan mutakhir Faisal Halim beberapa hari lalu yang sememangnya menyentuh nurani rakyat.

“Bola sepak yang selama ini dijulang sebagai sukan yang menyatukan rakyat kini dicemar dengan elemen keganasan dan ketaksuban melampau hingga menjurus kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan itu menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Sabtu.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memerangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi; Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda.

Seterusnya, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan bersama itu, keganasan dalam sukan mesti dihentikan dan langkah proaktif wajar digerakkan oleh semua pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Menurutnya, ia bertujuan untuk menangani budaya 'hooliganisme' daripada terus menular dan merosakkan industri bola sepak negara.

“Kami amat berharap agar pihak berkuasa akan bertindak tegas serta memastikan siasatan menyeluruh dan telus dilaksanakan terhadap insiden keganasan yang membabitkan atlet-atlet sukan negara,” ujar kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!