Diuji isteri cedera tulang belakang, suami tak kekok urus rumah tangga
ALOR SETAR - Seorang suami di Kampung Panchor, Pokok Sena di sini tidak kekok menguruskan rumah tangga semenjak isterinya mengalami kecederaan tulang belakang tiga tahun lalu.
Mohd Akmal Azizan, 36, berkata, dia yang mengambil upah kerja-kerja kampung sudah terbiasa memikul tanggungjawab di rumah termasuk mengambil anak-anak sekolah ketika isterinya masih bekerja sebelum ini.
"Dulu isteri saya bekerja syif memang saya yang urus rumah, jadi lepas isteri sakit dan berhenti kerja, saya tak rasa terbeban pun dengan tanggungjawab di rumah mungkin sebab sudah terbiasa," katanya.
Menurutnya, rutin hariannya bermula seawal jam 5.30 pagi dan selepas menguruskan anak-anaknya iaitu Adam Mikail, 10, dan Adam Malik, 7, ke sekolah, dia akan masuk ke kebun sekitar jam 9 pagi.
"Lepas itu kalau keluar kebun awal, saya akan terus ambil anak-anak balik sekolah, kalau ada hari yang terlambat balik, saya minta tolong mak ambilkan anak-anak," katanya.
Mohd Akmal berkata, isterinya Norhidayah Wahid, 36, pula akan membantu sekiranya keadaan mengizinkan.
"Isteri saya kadang-kadang nak urus diri sendiri pun perlu bantuan saya, tapi kalau ada hari yang dia larat, dia tolong saya masak nasi.
"Kemudian untuk lauk saya akan beli di kedai tapi kalau hari saya terlampau sibuk kami akan makan di rumah mak," katanya.
Jelasnya, dia berlapang dada dengan takdir daripada ALLAH SWT walaupun ketika ini dia terpaksa memikul kedua-dua tanggungjawab di rumah.
Sementara itu, Norhidayah berkata, dia bersyukur dikurniakan suami yang baik dan bertanggungjawab.
"Terima kasih suami kerana berjuang untuk isteri dan anak-anak malah tak jemu melayan karenah kami," katanya.
DUA ANAK HIDAP DIABETES, AUTISME PERLUKAN PERHATIAN RAPI
Sementara itu, di SHAH ALAM, keluarga terus menjadi keutamaan kepada Mohd Shah Rizal Shol Hadli, 46, berbanding meluangkan masa dengan hobi mendaki gunung atau berbasikal bersama-sama rakan sejak 14 tahun dahulu walaupun menerima pandangan sinis daripada masyarakat.
Bagi Penghulu di Mukim Telok Panglima Garang, Selangor itu, keputusan untuk menjaga anak-anaknya dan membantu isteri menguruskan rumah tangga adalah cabaran paling sukar tetapi ia tetap dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menurut bapa kepada tiga cahaya mata tersebut, meskipun dia seronok menjadi househusband tetapi mereka sekeluarga turut diuji dengan keadaan kesihatan anak-anak.
“Selepas dapat anak pertama, saya ambil tanggungjawab menjaga anak. Cabaran ini tidak mudah lebih-lebih lagi anak sulung saya menghidap diabetes jenis satu sewaktu dia berusia 12 tahun sehingga terpaksa ambil insulin dan anak ketiga usia lima tahun, alami moderate autisme sejak lahir,” katanya.
Menurut Mohd Shah Rizal, selain perlu melakukan kerja rumah setiap hari, dia juga perlu belajar untuk memahami perubahan sikap anak-anak yang semakin meningkat remaja.
Katanya, kesibukan isteri yang bekerja sebagai jururawat di hospital kerajaan menuntut mereka bertoleransi menguruskan rumah serta memastikan anak-anak mendapat kasih sayang sempurna.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!