Pesara tentera laut diperli 'takut bini'
PASIR MAS - Menyiapkan sarapan, masukkan kain kotor ke dalam mesin basuh, hantar isteri kerja, anak ke sekolah, jemur kain, kemas rumah serta memasak, itulah rutin harian dilakukan seorang bapa sepanjang 15 tahun selepas menamatkan perkhidmatan sebagai tentera laut.
Mohd Azman Mohamed Razali, 49, yang bersara sebagai Laskar Kanan berkata, walaupun ada suara sinis memerli 'takut bini' namun dia tidak tersinggung dengan kata-kata tersebut.
"Bagi saya menjadi suri rumah adalah detik yang indah apabila dapat meringankan beban isteri yang bekerja sebagai jururawat. Pada masa yang sama, saya dapat meluangkan masa yang lebih kepada anak-anak," katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Chicha, di sini.
Menurut Mohd Azman, 13 tahun beliau kurang masa bersama keluarga kerana kekangan tugas berlayar.
Ujarnya, selepas bersara peluang bersama lima anaknya yang kini berusia lapan hingga 24 tahun digunakan sebaik mungkin.
Tambah beliau, paling menggembirakan apabila melihat isteri dapat pulang ke rumah dan berehat sebaik mungkin selepas penat bekerja di hospital.
"Saya juga berpeluang memantau persekolahan anak-anak, selain menjemput dan menghantar mereka.
"Kini saya bangga hasilnya sudah boleh dilihat apabila anak sulung sudah menamatkan pengajian di UiTM (Universiti Teknologi MARA) dalam bidang kejuruteraan kimia, anak kedua berusia 21 tahun berada di England mengikuti kursus perakaunan dan kewangan," katanya.
Menurut Mohd Azman, walaupun menjadi suri rumah namun beliau tetap meluangkan masa mencari duit lebih dengan menjadi pemandu e-healing.
Ujarnya, menjadi suri rumah tidak menjadikan seorang suami nampak lemah sebagai ketua keluarga.
"Bagi saya, peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk memastikan isteri dan anak-anak dapat fokus kepada tugasan mereka. Saya pula memastikan mereka hidup sempurna tanpa sebarang bebanan," katanya.
'ADA MASANYA, SAYA RASA STRES SANGAT'
Dalam pada itu, di JOHOR BAHRU, walaupun ada ketika stres kerana perlu mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga dan melakukan semua perkara, Gori, 45, mengakui selesa menjadi househusband.
Pengurus jenama di sebuah firma yang bekerja dari rumah itu berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran, dia kini dapat menyesuaikan diri.
“Sejujurnya sudah lebih dua tahun saya mula mengambil alih tanggungjawab ini sejak musim pandemik Covid-19 lagi, sekitar 2021.
“Mula-mula tu memanglah rasa macam susah, kekok tapi semua itu dapat saya atasi dan sekarang saya menguruskan anak-anak, menghadiri program sekolah, hantar serta ambil anak dari sekolah, mengemas rumah, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya.
“Memang penat, tetapi itulah yang saya lakukan setiap hari. Isteri pula bekerja, tetapi dia masih membantu saya daripada aspek lain antaranya dengan memantau pembelajaran anak-anak pada hujung minggu,” kata bapa kepada tiga anak berusia tiga, tujuh dan sembilan tahun itu.
Tambah Gori, dia tidak pernah menganggap tugasnya sebagai beban.
“Saya mengaku memang ada masanya saya rasa stres sangat. Perasaan ini biasanya datang apabila saya ada jadual bertindih di mana perlu uruskan tugasan atau kerja saya sebaik mungkin, mesyuarat dalam talian dan dalam masa sama perlu uruskan rumah tangga,” katanya.
Dia percaya apa yang dilakukannya itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya sebaik mungkin selaku ketua keluarga.
“Saya akui saya terima macam-macam respons daripada rakan-rakan. Ada yang kagum dan simpati. Sebagai ketua keluarga, saya perlu tunjukkan contoh baik kepada anak-anak, terutamanya terhadap apa yang mereka boleh lakukan bagi membentuk sebuah keluarga yang baik,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!