Azeem terkilan gagal perbaharui rekod 100m
RAJA pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui kecewa kerana gagal memperbaiki rekod acara 100 meter (m) walaupun muncul juara dengan catatan 10.43 saat (s) pada final Kejuaraan Olahraga Terbuka Malaysia 2024 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Biarpun begitu Azeem berkata, dia gembira kerana mencapai sasaran mengekalkan gelaran sebagai pelari pecut nombor satu negara dan dapat bersaing dengan pelari pecut terpantas di Malaysia.
"Saya akui masih belum berjaya menghasilkan catatan masa memberangsangkan sejak Sukan Asia tahun lepas, namun tujuan utama saya di sini adalah berseronok tanpa meletakkan sebarang tekanan dan menggembirakan seluruh peminat yang hadir.
"Terdapat beberapa halangan untuk saya melakukannya, mungkin disebabkan rintangan angin ketika berlari tadi dan tubuh saya juga belum pulih 100 peratus selepas melalui perjalanan jauh dari Amerika Syarikat ke sini," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, atlet ATM, Jonathan Nyepa menduduki tempat kedua dengan catatan 10.54s, manakala tempat ketiga diraih Muhammad Efrain Feerzan Khan (Pahang) dengan masa 10.61s.
Atlet berusia 20 tahun dari Teluk Intan, Perak itu berkata, dia percaya berupaya untuk melakar sesuatu apabila tampil pada Terbuka Kazakhstan minggu depan selepas menyertai kejuaraan tersebut.
"Saya menyimpan impian menjadi atlet pertama negara yang berjaya mencatat masa di bawah 10 saat, ia tidak mustahil dilakukan apabila saya membuat persiapan rapi termasuk mendapatkan rehat secukupnya.
"Saya juga masih muda dan amat berharap semua pihak memberikan masa dua atau tiga tahun lagi untuk saya berada di kemuncak prestasi," katanya.
Bagi acara final 100m wanita, Zaidatul Husniah dari ATM dinobatkan johan dengan catatan masa 11.79s, diikuti atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Moha di kedudukan kedua (11.87s) dan di tempat ketiga, Azreen Nabila Alias dari Terengganu dengan catatan 12.21s.
INFO
Azeem merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s dan catatan terbaiknya musim ini ialah 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!