Razali persoal maksud tersirat Steven Sim perbaharui kontrak sosial

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mempersoal kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berhubung isu kontrak sosial.

Beliau berkata, menuntut penerangan hal itu bukan kerana melatah sebaliknya tanggungjawab dalam menjayakan agenda kontrak sosial perlu dipenuhi oleh semua lapisan rakyat Malaysia.

Menurutnya, Steven Sim perlu berhati-hati apabila membicarakan atau menutur kata hal-hal berkaitan kontrak sosial walaupun berucap di pentas dunia kerana boleh mengundang polemik.

“Sayugia diingatkan kontrak sosial punya agenda yang jelas dalam membentuk kebersamaan seluruh rakyat Malaysia dengan mengambil kira kepentingan semua.

“Soalnya sekarang adakah pemimpin DAP masih degil untuk memahami atau tidak patuh beberapa peruntukan afirmatif di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Akibatnya gagal memahami kontrak sosial dan selalu mencari jalan yang menang untuk mereka?” soalnya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Steven Sim dalam ucapan beliau pada Persidangan Antarabangsa Buruh (ILO) menyatakan bahawa penting akan perbaharui kontrak sosial yang menyeluruh dan berkualiti tinggi.

Menerusi satu hantaran di laman sosial X pada Jumaat, beliau turut menyinggung kontrak sosial dunia kini hanya menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan merugikan negara-negara kecil yang lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Steven Sim turut memaklumkan bahawa beliau juga telah mempromosikan konsep Malaysia Madani yang mengambil ibrah daripada pembentukan negara Madinah yang mengutamakan keadilan, kemakmuran bersama serta perpaduan.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pemimpin DAP perlu memahami maksud keadilan dan sama rata adalah dua perkara berbeza dan sering kali disalahertikan.

“Lebih menghairan, Menteri DAP ini menjadikan contoh konsep Malaysia Madani daripada pembentukan negara Madinah yang mengutamakan keadilan, kemakmuran serta perpaduan.

“Inilah masalah apabila terkena penyakit berjangkit PMX, Menteri Kabinetnya pun terikut sama. Apa yang adil dan perpaduan kalau dilihat contoh politik diskriminasi terhadap negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak?” soalnya.

Tambah beliau, usah menyatakan sesuatu perkara yang besar di pentas dunia sedangkan dalam negara tidak mempraktikkan hal tersebut.

“Sekali lagi diingatkan, negara yang diberkati ini dipasakkan atas semangat muhibbah, ditepiskan keegoaan dan penguasaan mutlak kaum majoritinya kerana sifat toleransi yang tinggi.

“Secara harfiahnya, waima sebuah negara Melayu didirikan atas nilai ketatanegaraan Melayu, namun pengoperasiannya dijadikan sebagai negara sepunya untuk semua kaum yang sudi menerima kontrak sosial dipersetujui secara konsensus,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!