JPJ selesaikan 90 peratus aduan pengguna jalan raya

Muhammad Kifli (dua dari kiri) melihat motosikal yang disita Ops Khas Motosikal Bersepadu Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 pada Sabtu.
Muhammad Kifli (dua dari kiri) melihat motosikal yang disita Ops Khas Motosikal Bersepadu Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah menyelesaikan sebanyak 90 peratus daripada 60,799 aduan pengguna jalan raya yang dihantar antaranya melalui e-aduan@JPJ dan aduantrafik.jpj@gov.my.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, bagaimanapun sebanyak 10 peratus lagi sukar dikesan berikutan maklumat yang tidak tepat dan tiada kerjasama susulan daripada pengadu.

Menurut beliau, beberapa kesalahan juga dikesan membabitkan nombor pendaftaran 'fancy' atau menggunakan laluan kecemasan.

"Kita juga sukar untuk mengenal pasti pemandu kenderaan kerana gambar yang dihantar oleh pengadu dalam keadaan samar menyebabkan nombor pendaftaran tidak jelas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau Ops Khas Motosikal Bersepadu Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.

Muhammad Kifli memberitahu, faktor itu tidak menjadi halangan untuk siasatan berterusan kerana pihaknya tetap akan mencari pengguna kenderaan yang melanggar peraturan.

"Kita akan teruskan sehingga dapat mengenal pasti kenderaan dan pemandu yang memandu dalam keadaan berbahaya terutama boleh melibatkan kemalangan jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengguna jalan raya di negeri Kelantan yang mempunyai video mengenai kesalahan pemandu kenderaan boleh terus berkongsi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan segera.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli memaklumkan Ops Khas HRAA 2024 yang dilaksanakan setakat 14 Jun memeriksa sebanyak 209,037 kenderaan.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 47,003 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan manakala 1,767 disita.

Ops Khas HRAA 2024 dilaksanakam selama 18 hari dan akan berakhir pada 30 Jun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!