KPDN terima 4 aduan kenaikan harga barang, perkhidmatan

Pegawai KPDN sedang memeriksa barang keperluan di salah sebuah premis di daerah ini. Foto KPDN Pahang
Pegawai KPDN sedang memeriksa barang keperluan di salah sebuah premis di daerah ini. Foto KPDN Pahang
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menerima empat aduan daripada orang ramai berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam tempoh pelaksanaan Ops Kesan 2.0 bermula 10 Jun lalu.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, kesemua aduan telah disiasat dan pihak syarikat atau perniagaan telah diberikan notis untuk mengemukakan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

"Kita mahu pengguna jadi mata dan telinga kepada KPDN bagi melaporkan sebarang kesalahan serta aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum itu, beliau memaklumkan KPDN menggerakkan 166 pegawai penguat kuasa dan 75 pegawai pemantau harga di seluruh negeri.

Pihak KPDN melihat paparan harga yang diletakkan oleh peniaga. Foto KPDN Pahang
Pihak KPDN melihat paparan harga yang diletakkan oleh peniaga. Foto KPDN Pahang

Jelasnya, mereka ini akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bekalan serta harga barangan keperluan pengguna menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Sepanjang Jun, sebanyak 3,448 premis telah diperiksa meliputi peringkat pemborong, peruncit, pasar basah, pasar tani dan pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai dalam mendapatkan bekalan barangan.

"Dari pemeriksaan tersebut, sebanyak 33 kes telah dihasilkan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jezlily memberitahu, pihaknya turut meningkatkan pemeriksaan ke atas perniagaan yang berdaftar dengan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Katanya, sebanyak 56 syarikat peniaga yang berdaftar dengan SKDS telah diperiksa Pengesahan Maklumat Barangan dan Perkhidmatan (NPMB) telah dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!