Faisal Halim tak mahu terus menyorok

Faisal bersama keluarga hadir memberi sokongan moral kepada pasukannya dalam perlawanan Piala FA Selangor FC lawan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya. Foto Bernama
Faisal bersama keluarga hadir memberi sokongan moral kepada pasukannya dalam perlawanan Piala FA Selangor FC lawan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya. Foto Bernama
A
A
A

PERASAAN trauma selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu mahu dibuang jauh-jauh oleh pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim.

Faisal atau lebih mesra disapa Mickey juga menegaskan beliau tidak mahu terus menyorok daripada orang ramai sekali gus tampil dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC pada Khamis lalu.

Beliau dalam sidang akhbar itu menyatakan hasratnya untuk menjalani kehidupan seperti orang lain selain semangatnya untuk kembali bermain bola sepak selepas insiden pahit itu.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu juga turut kelihatan berada di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu bagi menyaksikan perlawanan Piala FA antara pasukannya, Selangor FC dan Negeri Sembilan FC.

"Saya bersyukur proses (pemulihan) saya semakin hari semakin baik. Saya ada berhubung dengan Datuk Seri Shahril Mokhtar (Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC) dan saya nyatakan sudah mula berlatih ringan, kayuh basikal di rumah. Datuk pun macam tak percaya semangat yang saya ada.

"Saya ingin ke arah turun berlatih tetapi dengan keadaan saya ditempatkan di lokasi rahsia, jadi sampai bila saya nak menyorok daripada orang ramai.

"Saya beritahu kepada Datuk Seri Shahril Mokhtar (Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC) saya bersedia untuk tonjolkan diri saya kepada semua supaya saya bebas dan tak berselindung lagi.

"Saya nak menjalani kehidupan seperti biasa seperti manusia lain, seperti orang lain seperti pemain lain. Saya harap dapat kembali ke arena bola sepak secepat mungkin dengan doa anda semua," katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang berlaku di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Pemain sayap kebangsaan itu juga perlu menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!